Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland pada Rabu telah mensabitkan dua eksekutif PetroSaudi atas kesalahan menyeleweng US$1.8 bilion daripada dana kekayaan negara Malaysia, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

KUALA LUMPUR – Jumlah dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjaya dikembali dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) adalah sebanyak RM27.17 bilion sehingga 30 September lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada masa ini, dana tersebut masih berbaki sebanyak RM3.04 bilion.

“Dana ini akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan apa-apa perbelanjaan lain yang dibenarkan di bawah arahan amanah AAMKA.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan hutang 1MDB mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Teks penggulungan beliau dibaca oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berikutan Amir Hamzah mengalami masalah kesihatan akibat radang saluran kerongkong atau laryngitis.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menambah, jaminan pembiayaan kepada 1MDB sehingga RM5 bilion adalah berdasarkan kepada kelulusan Jemaah Menteri pada 1 April 2009.

Jelasnya, pembiayaan itu dilaksanakan melalui terbitan Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTN) ada 29 Mei 2009 dengan tempoh matang selama 30 tahun iaitu sehingga 29 Mei 2039 dengan kadar faedah sebanyak 5.75 peratus setahun.

“Sehingga September 2024, jumlah faedah atau kupon yang telah selesai adalah sebanyak RM4.312 bilion,” katanya.

Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.456 bilion yang terdiri daripada sejumlah RM5 bilion bagi prinsipal IMTN yang akan matang pada 27 Mei 2039 dan RM4.456 bilion bagi bayaran kupon IMTN bagi tempoh 2024 sehingga 2039.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here