Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) menyasarkan kutipan perniagaan sebanyak RM70,000 sebulan bagi setiap zon.

Perkara itu diperoleh daripada siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam siasatan itu turut mendedahkan kutipan harian keuntungan perniagaan GISBH akan dimasukkan ke dalam akaun pimpinan yang merupakan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

“Komitmen setiap kluster itu mesti mencapai kutipan harian dan kutipan harian apabila diperoleh, mesti dimasukkan dalam akaun individu pimpinan yang duduk dalam struktur ahli lembaga pengarah.

“(GISBH) ada zon Kuala Lumpur, zon tengah, zon utara, zon dalam dan luar negara. Ia ada sasaran kutipan RM70,000 sebulan bagi setiap zon,” katanya di Dewan Rakyat.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sesi penggulungan sesi penerangan mengenai perkembangan dan tindakan terhadap isu GISBH di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setiap transaksi pembelian aset dibuat oleh GISBH juga dibuat secara tunai dan bukannya melalui pinjaman bank.

Ekoran itu, katanya, pihak berkuasa sedang melakukan siasatan untuk menentukan punca wang dan ke mana ia dibelanjakan.

Menurut beliau lagi, PDRM  juga akan mendapatkan kerjasama Interpol berkaitan perniagaan GISBH di 18 negara.

Beliau menyangkal dakwaan proses yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap GISBH membelakangkan undang-undang.

“Kalau dikatakan siasatan di sini tidak mengikut lunas undang-undang, mustahil negara luar akan berikan kerjasama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here