Mohd. Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR – Semua pihak dinasihatkan untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak bersandarkan fakta berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan itu boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni pengubalan RUU berkenaan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa RUU Mufti digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

“Penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, bagi mengubal RUU Mufti satu jawatankuasa penggubalan telah ditubuhkan pada 2021.

Penubuhan rang undang-undang itu bertujuan untuk mengkaji dan menggubal akta yang khusus untuk mufti.

“Jawatankuasa Penggubalan ini dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

“RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak mengkritik RUU Mufti termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengajak Mohd Na’im melakukan dialog terbuka.

Mohd Asri berkata, Mohd Na’im sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan selaras dengan idea kerajaan Madani.

Namun beliau menyifatkan menteri berkenaan sedang membawa negara ke kancah kafir-mengkafir dan sesat menyesatkan.

Turut mengkritik RUU terbabit adalah bekas Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya.

Beliau mempersoalkan klausa membabitkan takfiran Ahli Sunah Waljamaah sebagai ‘mana-mana orang yang berpehang dengan al-Quran dan Sunah (a) berkenaan dengan akidah yang mengikut pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Muturidiyah’.

“Berapa ramaikah orang Islam di Malaysia yang tahu apa itu akidah Asyairah dan Maturidiyah? Mungkin majoriti nak sebut pun tak tahu dan tak kenal pun apa itu dan siapa itu Asyairah dan Maturidiyah.

“Jadi kenapa dipaksa umat Islam Malaysia untuk ikut sesuatu yang mereka tak tahu. Tidak cukupkah sejak merdeka, di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam di Malaysia dimaktubkan sebagai agama rasmi negara tanpa spesifikasi aliran tertentu. Tidak cukup Islamkah orang Islam yang berakidah bersumberkan al Quran dan al Sunnah?” soalnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

RUU Wilayah Persekutuan: Mufti Perlis ajak Menteri Agama berdialog

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here