Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai jangkaan kenaikan tiga kali ganda sayur menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, buat masa ini pihaknya akan memantau sebarang perubahan harga dan bertindak secara proaktif sekiranya berlaku kenaikan secara mendadak.

“Agak awal untuk saya komen tapi KPDN memantau sebarang pergerakan harga atau terkait bekalan, dan KPDN kerjasama rapat dengan KPKM  sekiranya ada keperluan kita akan ambil langkah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Syarikat Carsome Group di Carsome PJ Auto Mall Experience Center, hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan harga sayur-sayuran dijangka meningkat pada November dan Disember ini susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

Walaubagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan memastikan bekalan sayur-sayuran mencukupi

Sementara itu Armizan berkata, KPDN akan membuat perincian berkenaan lantikan pemborong utama (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) di setiap daerah yang bakal dibenarkan menambah kuantiti had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had sedia ada sepanjang tempoh bencana.

“Memang kita sudah sedia di setiap negeri. Semua sudah diantik tapi pengumuman secara spesifik kita akan buat.

“Komitmen kita adalah untuk memastikan bekalan tidak terputus kepada rakyat kita termasuklah di kawasan yang terkesan dan dijangka terkesan  dengan banjir,” katanya.

Usaha tersebut bagi memastikan bekalan makanan di kawasan terjejas banjir sentiasa mencukupi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here