Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM1,172.5 bilion atau 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah hutang pada akhir Jun lalu mencatat RM1,227.5 bilion atau 63.5 peratus daripada KDNK.

“Bagaimanapun kadar hutang setiap tahun telah menunjukkan trend penurunan.

“Selari dengan komitmen kerajaan ke arah konsolidasi fiskal, kerajaan juga bertekad untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60 peratus secara beransur-ansur dalam tempoh jangka masa sederhana seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Teks penggulungan beliau dibaca oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berikutan Amir Hamzah mengalami masalah kesihatan akibat keradangan saluran kerongkong atau laryngitis.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelbagai strategi pengurusan hutang kerajaan dirangka sebagai langkah dalam usaha mengurangkan paras hutang yang perlu dilaksanakan.

Antaranya jelas beliau, meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

Katanya, strategi memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan di mana perbelanjaan mengurus perlu dibiayai melalui hasil negara dan kerajaan sentiasa mempunyai lebihan baki semasa serta dapat menampung sebahagian perbelanjaan pembangunan (DE).

“Strategi kerajaan juga mengutamakan pinjaman domestik dengan mengambil kira mudah tunai yang tinggi dan kos pinjaman yang lebih murah serta tidak terdedah kepada risiko tukaran wang asing.

“Pada masa sama, kerajaan juga memastikan pinjaman adalah semata-mata untuk membiayai DE yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi seterusnya memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Amir Hamzah menambah, melalui konsolidasi fiskal secara tegas dan berperingkat, kerajaan berjaya mengekang peningkatan jumlah pinjaman bersih sekaligus mengurangkan pertumbuhan hutang.

“Defisit fiskal berjaya dikurangkan secara konsisten di mana jumlah pinjaman bersih dijangka terus berkurang iaitu dari RM99.4 billion pada tahun 2022 kepada RM92.5 billion pada tahun 2023.

“Trend ini dijangka akan terus berkurangan sekitar RM86 bilion pada tahun 2024,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here