Gambar hiasan

GERIK – Seorang pengendali jentera berat maut selepas diserang seekor harimau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian berlaku antara jam 5 hingga 6 pagi ketika mangsa berusia 54 tahun itu hendak ke tandas.

Jelas beliau, kejadian itu turut disaksikan isteri mangsa yang merupakan warga Thailand selepas terdengar bunyi harimau mengaum sebelum dia mendapati suaminya diheret haiwan liar itu ke dalam semak berhampiran.

“Kita terima maklumat berhubung kejadian jam 8.25 pagi dan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bersia bersama pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke lokasi pada jam 10.30 pagi bagi tujuan siasatan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan mangsa kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada jam 12 tengah hari.

“Mangsa ditemui dalam keadaan cedera parah pada bahagian kaki kiri serta leher dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Azizi, mayat mangsa dihantar Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk proses bedah siasat.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here