Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PETALING JAYA – Kajian mengenai pelaksanaan Lemon Law kini pada fasa akhir sebelum dijangka bakal dimuktamadkan  tahun depan.

Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tempoh kajian komponen yang sepatutnya selesai September lalu dilanjutkan sehingga November ini bagi meneliti syor dan pandangan pihak industri.

“Dalam tempoh masa tambahan sehingga dua bulan ini (dari Oktober hingga November) apa yang akan dilakukan adalah melihat cadangan baharu yang dikemukakan daripada industri dan cadangan supaya dibuat penambahbaikan,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Syarikat Carsome Group di Carsome PJ Auto Mall Experience Center hari ini.

Jelas Armizan, kajian penuh akan dibawa kepada peringkat seterusnya iaitu perbincangan dengan kementerian yang berkaitan termasuklah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pengangkutan.

“Kita harap tahun depan kita dapat tambah baik dan muktamadkan,” katanya lagi.

Menurut Armizan, KPDNHEP menumpukan usaha untuk meningkatkan perlindungan dan mengukuhkan hak tebus rugi kepada pengguna terhadap sebarang pembelian yang mengalami kerosakan berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, katanya, kementerian  dalam tempoh ini melaksanakan dua langkah penyelesaian interim untuk pengguna sebelum memuktamadkan Lemon Law seperti yang diumum sebelum ini.

Langkah berkenaan adalah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mewujudkan surat persetujuan (consent letter).

Katanya, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama di antara KPDNHEP drngan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu pengguna yang memfailkan aduan di Tribulan Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Ini bagi yang sebelum ini berhadapan kesukaran mendapatkan surat persetujuan. BNM pada 2 September lalu telah mengeluarkan arahan untuk institut perbankan untuk membolehkan pengguna memohon dan mendapatkan surat persetujuan daripada institusi dan BNM telah memberikan tempoh tiga bulan sehingga 3 Disember ini,” jelasnya.

Selain itu, Armizan menegaskan, KPDN menerusi bahagian penguat kuasa telah menubuhkan pasukan rundingan khas yang melibatkan industri yang berkaitan dan pembeli.

“Jika terdapat sebarang isu yang terkait pembelian kenderaan maka bahagian penguat kuasa (akan) bertindak sebagai pemudah cara. Semenjak ditubuhkan sebanyak 16 aduan diselesaikan,” katanya lagi.– MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here