Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd dinobatkan sebagai Mercu Tanda Telekomunikasi Ikonik Tahun Ini dalam ‘Anugerah The Knights Award’ Musim 3 yang berlangsung semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif menara ikonik itu, Nazli Saad, pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian besar bagi yang diraih Menara Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-28 pada bulan ini.

Selain berbesar hati dengan pengiktirafan tersebut, Nazli berkata, pengiktirafan ini bukti dedikasi dan usaha gigih seluruh kakitangan yang berkhidmat demi memberikan pengalaman terbaik kepada pengunjung dari seluruh dunia.

“Kami amat berbesar hati menerima anugerah ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda ikonik di Malaysia dan memberi inspirasi kepada kami untuk terus berinovasi dan menyediakan pengalaman luar biasa kepada pengunjung kami,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya lagi, Menara Kuala Lumpur komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai lokasi tarikan pelancongan terkemuka dan mercu tanda telekomunikasi.

“Anugerah ini menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan ke tahap yang lebih tinggi, serta terus menyumbang kepada landskap budaya yang meriah di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Menara Kuala Lumpur yang terletak di puncak Bukit Nanas, merupakan menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia dengan ketinggian 421 meter di tengah ibu kota.

Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menarik antaranya Sky Deck, Sky Box, dewan bankuet TEMU, Aras Restaurant, Observation Deck TH04 & TH01, Tower Walk 100, kafe, gerai cenderamata dan perkhidmatan shuttle.

Menara ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 10 malam.

Selain itu menara itu juga merupakan ahli ‘The World Federation of Great Towers’ iaitu sebuah persekutuan yang dianggotai oleh 50 menara terkenal di dunia.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here