Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low.

KUALA LUMPUR – MCA berharap sebarang langkah penyelarasan subsidi yang dijangka diumumkan Belanjawan 2025 pada Jumaat ini dilakukan secara berperingkat dan tidak membebankan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Lawrence Low berkata, pihaknya menjangka kerajaan akan mengumumkan berkenaan pelarasan subsidi RON95 dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan kelestarian kewangan negara selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Jatawankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA, pembatalan subsidi yang dilakukan itu mungkin akan mencetuskan reaksi berterusan dan menimbulkan masalah sosial.

“Mekanisme yang digunakan dalam pelaksanaan ini harus dibuat dengan teliti agar tidak timbul isu ketirisan dan penipuan, dalam masa yang sama perlu memastikan sasaran yang tepat menerima manfaat daripada pelaksanaan ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Lawrence turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan subsidi tunai kepada golongan sasaran kerana kaedah tersebut dianggap lebih mudah dan cekap di samping dapat melindungi kepentingan golongan berpendapatan rendah.

Bagi mengelak kelemahan pelaksanaan, beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan sistem digital atau teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjadikan pengagihan subsidi lebih tepat dan telus.

“Ini bukan sahaja akan memastikan keadilan penyasaran subsidi, tetapi juga meningkatkan kecekapan pentadbiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan subsidi yang disasarkan mungkin akan menghadapi masalah seperti kesukaran mengenal pasti golongan sasaran dan proses pengagihan memandangkan kerajaan pernah mengalami masalah sama ketika melaksanakan penyasaran subsidi diesel sebelum ini.

Sehubungan itu, jabatan yang berkaitan perlu diperkukuhkan sebelum melaksanakan dasar tersebut bagi mengelakkan berlaku penyelewengan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lawrence berharap pelarasan gaji minimum baharu yang turut dijangka diumumkan menerusi Belanjawan 2025 dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan kesan yang berlebihan kepada pihak perusahaan.

Jelasnya, kenaikan ketara gaji minimum akan memberi tekanan kepada perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

“Oleh itu, adalah disyorkan untuk kerajaan menggunakan kaedah pelarasan berperingkat, seperti meningkatkan sebanyak RM100 hingga RM150 buat permulaan dan kemudian membuat pelarasan kedua berdasarkan keadaan ekonomi.

“Piawaian gaji minimum yang berbeza boleh ditetapkan mengikut negeri atau saiz syarikat, terutamanya di beberapa wilayah atau syarikat yang mempunyai keupayaan ekonomi yang lemah untuk mencari keseimbangan antara mengekalkan operasi perniagaan dan kebajikan pekerja,” katanya.

Dalam masa sama, belia mencadangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 mempertimbangkan menurunkan cukai korporat bagi membantu syarikat mengurangkan tekanan kos dan terus kekal berdaya saing. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here