KUANTAN – Kerajaan diharap dapat memberikan kadar tarif utiliti rumah kebajikan sama seperti yang diberikan kepada rumah ibadat.
Petugas Rumah Permata Camar, Mohd Hadzmie Ramli berkata, sekiranya rumah kebajikan dikategorikan setaraf dengan rumah ibadat, mereka dapat menikmati tarif yang jauh lebih rendah.
”Jika kerajaan dapat mempertimbangkan rumah kebajikan setaraf dengan rumah ibadat, ia dapat menjimatkan perbelanjaan kerana sekarang bil utiliti kami tinggi ekoran ia tersenarai sebagai premis.
”Dengan keadaan ekonomi sekarang bukan mudah untuk mendapat dana jadi kami mengamalkan budaya jimat cermat.
“Namun, sekiranya bil utiliti dapat dikurangkan, pastinya ia boleh membantu kami mengunakan penjimatan tersebut untuk perbelanjaan lain pula,” katanya.
Selain tarif utiliti, warden yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan penghuni kanak-kanak dan remaja lelaki itu berpendapat, kerajaan juga patut menyediakan latihan berkala kepada penjaga rumah kebajikan.
”Bukan sekadar pengerusi sahaja yang diberi taklimat tetapi penyediaan kursus kepada warden yang terlibat secara langsung dengan penghuni,” tambah Hadzimie.
Sementara itu bagi Pengurus Pusat Jagaan Chahaya, Norhasanin Ahmad pula berharap, semua rumah kebajikan berdaftar dapat menerima geran pengurusan tahunan per kapita mengikut jumlah penghuni yang dibenarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
”Kita tidak boleh harap kepada pihak kerajaan dalam kerja kebajikan, kena usaha sendiri.
”Tetapi kita bernasib baik kerana di Pahang, kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM10,000 setahun,” katanya yang menjaga 26 penghuni di pusat jagaan berkenaan.
Senada dengan itu, Pengurus Rumah Kebajikan Permata Al Kauthar Muqarrabin, Mahadi Deraman juga berharap agar kerajaan mempertimbangkan cadangan penerimaan geran secara per kapita kepada rumah kebajikan swasta yang diusahakan di negeri ini bagi menampung perbelajaan.
Jelasnya, rumah kebajikan adalah tempat untuk membantu golongan memerlukan dan bukannya mengejar keuntungan.
Justeru beliau berharap kerajaan memberi sokongan dan bantuan sewajarnya kepada golongan berkenaan.
Mahadi yang lebih 15 tahun menyumbang kepada aktiviti kebajikan turut berharap kerajaan mengumumkan bantuan membina dan membaik pulih bangunan asrama penempatan penghuni pada Belanjawan 2025 nanti.
Manakala bagi Pengurus Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna, Zuraida Ismail berkata pihaknya memerlukan sumbangan kenderaan kepada penghuni Baitul Husna.
Keperluan tersebut bagi menampung kegunaan anak yang semakin meningkat usia.
Beliau yang berpengalaman menguruskan penghuni kanak-kanak dan remaja perempuan di Berserah dekat Kuantan sejak 15 tahun lalu berkata kekangan setiap rumah kebajikan adalah kekurangan dana.
”Kami nak cari pendapatan sendiri kerana penting bagi sesebuah rumah kebajikan untuk meningkatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan.
“Namun begitu, sebelum tu nak cari dana atau modal untuk beli sebuah lot bangunan kedai untuk disewakan bagi menjana pendapatan.
”Sekarang kami menerima sebuah rumah wakaf di Kampung Padang jadi ada peluang untuk tambah penghuni jadi kalau boleh nak peruntukan dana untuk beli kenderaan terpakai.
”Jadi kalau kerajaan dapat membantu rumah kebajikan memberikan modal untuk berniaga juga bagus,” katanya. – MalaysiaGazette