Dari kiri Nazri Mohd Ali, ROsilawati Rosedi dan Hakime Mat Ali

TEMERLOH – Tragedi banjir besar pada tahun 2021 yang menyaksikan air mencecah bumbung Pasar Awam Mentakab masih terpahat di memori para peniaga di situ.

Sehubungan itu, beberapa peniaga mengambil langkah segera memunggah barang perniagaan apabila air Sungai Semantan mula naik beberapa hari lalu.

Paras air di kwasan Pasar Awam Mentakab semakin meningkat disebabkan limpahan air Sungai Semantan

Tinjauan MalaysiaGazette siang tadi mendapati di pasar berkenaan sudah menjadi pulau ekoran banjir termenung.

Hakime Mat Ali, 70, berkata, peniaga di sini khuatir tragedi sama berulang apabila melihat keadaan air naik sejak semalam dan memutuskan untuk tidak berniaga esok.

Beliau yang mula berniaga sejak 1979 mengakui insiden banjir besar 2021 itu meninggalkan kesan sehingga hari ini.

”Hari ini buka lagi kedai sebab nak sediakan ayam untuk mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sambil mengemas untuk alih semua barang.

”Kalau tengok kesan banjir 2021 dulu masih ada sampai hari ini. Apabila tengok trend air sebegini risau macam akan terjadi banjir besar lagi,” katanya.

Manakala bagi Nazri Mohd Ali, 43, beliau berkata tindakan untuk mengosongkan kedai wajar susulan beliau mendengar ura-ura pelepasan air dari Empangan Susu akan dilakukan pada esok.

Beliau sudah 15 tahun berniaga di situ mengangkut barang dari Mentakab ke Kampung Paya Pulai dekat Temerloh.

”Dengar kata empangan di Mempaga akan dibuka jadi kami risau juga tak sempat mengemas nanti.

”Jadi kalau kedai tak boleh buka, saya berniaga sementara di kampung sahaja sampai air surut,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya dikenali Ah Kun berkata meskipun fenomena banjir kerap berlaku di kawasan pasar namun kali ini paras air dikatakan meningkat dalam tempoh yang singkat.

”Semalam naik sikit sahaja dekat belah belakang pasar tapi hari ini nampak lagi naik. Hari ini ada lagi peniaga masih berniaga sebelum mereka mahu tutup,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kampung Batu Kapur dekat Mentakab mendapati jalan utama untuk masuk di kawasan berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Laluan utama masuk ke Kampung Batu Kampur ditelenggami air sejak awal pagi tadi

Menurut Rosilawati Rosedi, 45, berkata air mulai melimpah dan naik ke laluan tengah jalan ke kampungnya sejak pagi tadi.

Manakala kawasan perkuburan di sebelah kiri laluan masuk tenggelam sepenuhnya.

Setakat ini sebanyak tujuh PPS dibukan menempatkan 417 keluarda membabitkan 1,415 mangsa banjir di Temerloh. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here