KUALA TERENGGANU – Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 23 Ogos 2020, peniaga berumur 44 tahun telah ditawarkan menyertai satu usaha sama untuk membangunkan sebuah resort di Pulau Perhentian oleh syarikat Bmax Solution (M) Sdn Bhd.
Beliau berkata peniaga yang berasal dari Marang telah dijanjikan pulangan RM394,020 setiap tahun, selagi menyertai pelaburan berkenaan, dengan modal RM500,000.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan besar bersetuju dan menandatangani perjanjian dengan membuat pembayaran modal ke akaun yang diarahkan secara berperingkat sehingga mencapai jumlah RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata selepas beberapa tahun menunggu peniaga itu masih belum menerima keuntungan yang dijanjikan, manakala suspek wanita yang pada awalnya memperkenalkan diri sebagai Janah, gagal dihubungi.
Peniaga itu merasa tertipu kemudiannya apabila semakan yang dibuat dengan pihak berkaitan mendapati bahawa tidak ada pembangunan resort di Pulau Perhentian seperti yang didakwa suspek.
Peniaga itu membuat laporan polis baru-baru ini. – BERNAMA