ACP Mohd Azam Ismail

AMPANG – Pergerakan tanah didapati masih berlaku di kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, di sini.

Ia hasil penilaian awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kerja-kerja pembersihan dan pemasangan kanvas akan dilakukan bagi mengurangkan risiko runtuhan tanah.

“Dapatan (JMG) memang terdapat pergerakkan tanah lereng bukit di sebelah kiri dan beberapa tindakan awal akan diambil pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Mereka akan memasang kanvas dengan keluasan 30×20 meter bagi mengelakkan hakisan lebih teruk memandangkan hujan agak lebat petang ini sehingga ia siap,” katanya dalam sidang media di tempat kejadian.

Tambah beliau lagi, seramai 33 penduduk melibatkan 11 kelamin telah diarahkan berpindah dan tidak dibenarkan pulang kerumah masing-masing.

“Kita telah menasihati semua penduduk terlibat untuk berpindah ke Dewan Orang Ramai Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon1 yang berhampiran tempat insiden ini.

“Manakala penduduk yang tidak mahu duduk di dewan ini boleh tinggal atau menetap di rumah saudara mara mereka.,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, pihak JMG bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kajian kali kedua esok bagi memutuskan tindakan susulan akan datang di kawasan runtuhan itu.

Menjawab pertanyaan, Mohd Azam tidak menolak keluasan hakisan tanah runtuh itu akan menjadi lebih besar sekirajya hujan berterusan.

“Mungkin sebab itu kita harap hujan akan berhenti segera. Sehingga kini sebanyak 80 peratus kerja-kerja pembersihan telah dilakukan bagi membolehkan penduduk pulang untuk mengambil barang keperluan dan kenderaan mereka tapi menetao di sini masih tidak boleh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Sektor Pengurusam Merangkap Pegawai Undang-Undang MPAJ, Johari Atli enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan awal Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexande Nanta Linggi bahawa JKR sudah memberi amaran awal berhubung kawasan tersebut.

Beliau hanya menggeleng kepala ketika ditanya pemberita. –  MalaysiaGazette

Keadaan selamat atau tidak, tunggu penilaian JMG – Polis

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here