Chang Lih Kang (dua dari kiri) ketika menyaksikan pertukaran MoU antara Dr. P. Muralitharan dan Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil pada program prapelancaran INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM di Cybertorium, Tingkat 2, Menara Star, Petaling Jaya, hari ini. Turut kelihatan, Norolazali Sulaiman.

 

PETALING JAYA –  Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC 2024) hari ini menganjurkan program prapelancaran INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM di Cybertorium, Menara Star, di sini, yang menonjolkan inovasi terkini dalam industri peranti perubatan.

Inisiatif INNOMed menggalakkan kerjasama dan mendorong inovasi dalam ekosistem peranti perubatan, menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam inovasi dan pembuatan peranti perubatan.

Inisiatif itu dipimpin oleh Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM) dan disokong oleh beberapa rakan strategik.

Salah satu tumpuan utama dalam majlis hari ini adalah kerjasama dalam pembangunan ventilator invasif dan tidak invasif mudah alih (VS1) oleh Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB).

Majlis prapelancaran itu dihadiri oleh beberapa tokoh utama antaranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang turut menyampaikan ucaptama sekali gus merasmikan pelancaran program tersebut.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika berucap pada majlis prapelancaran INNOMed: Innovation Pitching di Menara Star, Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr. P. Muralitharan; Presiden PERANTIM, Johari Abu Kasim dan Pengerusi INNOMed, Dr. Hyzan Mohd. Yusof.

Hadir sama, Pengerusi APSB, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil.

Dalam majlis sama, satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara MDA dan pemain industri utama, termasuk APSB dan PERANTIM, ke arah perkongsian untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor peranti perubatan Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang bergambar bersama-sama sebahagian rakan strategik program INNOMed: Innovation Pitching pada majlis prapelancaran program itu di Menara Star, Petaling Jaya, hari ini.

APSB mula membangunkan VS1 pada tahun 2020, menggunakan bahan dan perisian berdasarkan lesen terbuka dari Medtronic.

Syarikat ini berhasrat untuk mempromosikan penggunaan VS1 di seluruh kemudahan kesihatan awam dan swasta di Malaysia, termasuk di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

MDA menyokong APSB dengan menyediakan garis panduan, peraturan dan bantuan dalam bentuk geran, pengurusan harta intelek, perolehan, dan pengkomersialan.

Selain itu, MDA bekerjasama dengan APSB menerusi garis panduan program Sandbox untuk memastikan VS1 mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan antarabangsa.

Pra-pelancaran itu menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia menjadi peneraju global dalam inovasi perubatan dan meletakkan asas untuk impak transformasi INNOMed dalam industri penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast