Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail.

AMPANG – Sebanyak penghuni 20 rumah telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka berikutan insiden runtuhan tanah di lereng bukit berhampiran Taman Melawati di sini akibat hujan lebat hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya mengeluarkan arahan itu berikutan laluan utama ke perumahan terlibat telah terjejas akibat runtuhan yang berlaku.

Katanya, pihak telah menerima maklumat pertama berkaitan  kejadian tanah runtuh di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6 Taman Melawati di sini  lebih kurang 10.30 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, anggota polis dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut siasatan awal polis di lokasi mendapati runtuhan tanah itu mengakibatkan 20 unit rumah teres di perumahan terbabit telah terputus jaringan laluan utama.

“Siasatan lanjut mendapati sebuah kereta yang diparkir di dalam sebuah sebuah rumah mengalami kerosakan di bahagian belakang akibat runtuhan tanah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian sama, sebuah kabin pondok pengawal turut mengalami kerosakan apabila ia terbalik akibat runtuhan tanah itu.

Bagaimanapun, kata Mohd Azam, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Tambah beliau, berikutan perkembangan itu, ⁠semua penduduk terkesan iaitu 20 rumah telah diarahkan untuk berpindah ke Dewan Serbaguna, Jalan E5, Taman Melawati buat masa ini.

“Polis bersama bomba, Majlis Perbandaran Ampang Jaya kini berada di lokasi runtuhan dan terus memerhatikan situasi dan setakat ini runtuhan di lereng bukit itu tidak melibatkan mangsa,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here