KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menepis kenyataan anak perempuan pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad yang menafikan dakwaan ahli Global Ikhwan Services and Busines Holdings (GISBH) sudah tidak mengamalkan ajaran Al-Arqam.
Saifuddin Nasution menegaskan, ahli-ahli GISBH masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah atau amalan dalam Al-Arqam yang diisytiharkan sesat sebelum ini.
Malah penafian mengatakan ahli GISBH tidak mengamalkan ajaran sesat itu hanya kenyataan pihak luar, katanya.
“Siasatan polis setakat ini ikut mengesahkan ada pengakuan terhadap amalan Aurad Muhamadian masih lagi dilakukan di kalangan yang kita tangkap dan soal siasat.
“Ia masih berlaku jadi kalau pun ada ada kenyataan diluahkan yang mengatakan mereka sudah tidak lagi menyatakan itu, itu hanya kenyataan,” katanya dalam sesi penerangan mengenai perkembangan dan tindakan terhadap isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, anak perempuan pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad menafikan dakwaan GISBH mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam.
Khaulah Asaari berkata, ahli GISBH sudah bertaubat dan tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam, pertubuhan agama difatwakan sesat dan diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin menegaskan, tiada motif politik oleh kerajaan dalam mengendalikan kes GISBH.
Menurutnya, isu GISBH lebih kepada pelakuan jenayah terhadap kanak-kanak.
“Jenayah terhadap kanak-kanak berlaku dan kes yang sudah disabitkan itu tertuduh telah membuat pengakuan dan dipenjarakan 10 tahun, itu melibatkan penderaaan terhadap kanak-kanak.
“Ada kes yang sudah dituduh di mana 15 kes sudah dituduh setakat ini dan menunggu tarikh perbicaraan.
“Wujud pelanggaran terhadap banyak undang-undang dan kita perlu menjalankan siasatan dengan betul dan bertanggungjawab serta membiarkan proses undang-undang mengambil tempat sewajarnya,” katanya lagi.
Bulan lalu, polis melakukan serbuan di sekurang-kurangnya 20 rumah amal bawah GISBH dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.
Ada dalam kalangan mereka turut menjadi mangsa salah laku seksual.
Untuk rekod, lebih 400 individu dikaitkan dengan kumpulan itu ditangkap termasuk 58 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengikut GISBH tak ikut amalan Al-Arqam – Anak perempuan Asaari