KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui dirinya tidak pernah menyambut hari lahir.
Secara berseloroh, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau pertama kali menyambut hari lahir apabila menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini.
“Kami orang kampung tidak pernah sambut hari jadi. Bila jadi Menteri Pertahanan dahulu, baru pertama kali saya disambut hari jadi.
“Sebab bapa kita kata, umur kamu (sama) pokok kelapa ini. Hari beranak ditanam, sekarang pokok kelapa itu sudah mati. Bermakna usia kita semakin lanjut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata demikian selepas Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengucapkan selamat hari jadi kepadanya sewaktu pertanyaan soalan lisan di Dewan Rakyat.
“Menteri. Selamat hari jadi untuk semalam. Happy birthday,” katanya semasa soalan tambahan.
Terdahulu, Doris Sophia meminta Mohamad menyatakan bagaimana kementeriannya memastikan penangkapan ikan air laut di perairan negara ini secara berlebihan dikawal terutama di kawasan yang terancam akibat aktiviti itu. – MalaysiaGazette