Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu GISBH bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Tindakan ke atas Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dibuat hasil dapatan siasatan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM tidak bertindak secara semberono dalam kes tersebut.

“Polis telah mengesan wujud pelbagai bentuk kesalahan dalam aktiviti rangkaian GISBH semasa siasatan dilaksanakan secara mendalam sepanjang Operasi Global (Op Global) dijalankan sejak 11 September lalu.

“Antara kesalahan yang dikesan sepanjang siasatan yang dijalankan bermula dari Fasa 1 sehinggalah Fasa 4 Op Global ialah pengabaian kanak-kanak, penganiayaan kanak-kanak, penderaan dan eksploitasi dalam mencapai hasrat dan matlamat organisasi GISBH.

“Perlu ditekankan di sini bahawa setiap tindakan yang diambil kami dalam kes ini bukanlah secara semberono tetapi berlandaskan fakta dan bukti yang wujud dalam siasatan yang dilakukan secara lebih berhati-hati dan teliti,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, siasatan PDRM terhadap GISBH dijalankan secara terperinci mengikut segala peruntukan dan lunas undang-undang yang sedia berkuatkuasa di negara ini.

Polis turut menjalankan siasatan di bawah kes jenayah iaitu Kanun Keseksaan (KK), antaranya Seksyen 506, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan lain-lain serta ada antara kertas siasatan dalam kes ini telahpun dituduh di mahkamah.

“Pada asasnya, siasatan dibuat oleh polis berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima sebelum risikan dijalankan pihak polis dalam kes ini.

“Dalam perkara ini, pihak polis menjalankan siasatan secara lebih berhati-hati dalam memastikan tindakan terhadap GISBH dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Sepertimana saya tegaskan sebelum ini, PDRM menjalankan siasatan di bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Pemerdagangan Manusia, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akta-akta lain.

Tegas Razarudin lagi, Op Global juga dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam membantu setiap kesalahan yang wujud sepanjang siasatan GISBH.

“Selepas siasatan, kita dapati banyak kesalahan yang dilakukan mereka (GISBH) mula timbul seperti tidak membayar Kumpulan Wangsa Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tidak mendaftarkan pusat jagaan atau rumah amal, malah mereka juga didapati tidak membayar gaji kakitangan.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan dalam hal ini segala maklumat yang diperoleh ini bukan hanya berdasarkan laporan polis yang dibuat sebaliknya melibatkan kenyataan ahli yang membantu pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan sehingga mendedahkan kesalahan yang berlaku dalam organisasi GISBH.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga pelbagai bentuk klip rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan berlaku elemen penganiyaan dan pengabaian di rumah amal di bawah kendalian GISBH itu,” katanya.

Beliau menjawab demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang mendakwa kononnya seorang pegawai dikatakan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengakui tiada kes terhadap isu kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global.

Malah katanya, video itu turut mempersoalkan justifikasi kanak-kanak yang diselamatkan itu ditahan sehingga tempoh dua bulan susulan pegawai itu mendakwa tiada kes penderaan terhadap mereka.

Kata Razarudin lagi, segala tindakan polis dalam siasatan kes berkenaan adalah untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang diabaikan, dianiayai, didera atau dieksploitasi selain menangkap dan seterusnya mendakwa pelaku bertanggungjawab dalam kesalahan tersebut.

Dalam satu sidang media pada Ahad lalu, seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH menuntut polis agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah hampir lebih sebulan tidak dapat berjumpa kanak-kanak tersebut.

Tun Faisal Ismail mendakwa, anak-anak tersebut bukan diselamatkan oleh polis dan JKM sepertimana dikatakan media, sebaliknya ditahan, dipisah serta disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang yang dikatakan melanggar hak asasi manusia, Artikel 9 dan 18 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak(CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here