Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Melawati pagi tadi dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem pengaliran longkang di Jalan G2, yang tersumbat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan amaran tahap bahaya kepada JKR Daerah Gombak dan Hulu Langat pada pukul 4.37 petang semalam, supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Amaran awal ini juga telah dipanjangkan kepada wakil pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya semalam.

“Saya juga telah mengarahkan pasukan CKC JKR untuk ke tapak bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci situasi di kawasan terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit Jalan E6, di taman tersebut, pagi tadi.

Kejadian dilaporkan sekitar pukul 11.30 pagi tadi ketika hujan lebat.

Insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan bomba masih mengawasi kawasan berkenaan berikutan terdapat pergerakan tanah di lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast