KUALA LUMPUR – Pasukan bomba menyelamatkan seramai 21 murid dalam kejadian banjir yang berlaku di Jalan Hulu Klang, Batu 8, berhampiran Klang Gate di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bencana negeri menerima panggilan mengenai insiden banjir dan aduan murid terperangkap sekitar pukul 10.28 pagi.
Bertindak atas panggilan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang telah bergerak ke lokasi kejadian banjir di 7A, Jalan Hulu Klang untuk tindakan lanjut.
“Seramai enam anggota diketuai Komander Operasi PBK II KUP Shamsul Shahar turun ke lokasi untuk kerja penyelamatan. Pemeriksaan Komander Operasi melaporkan banjir berlaku pada anggaran paras pinggang memasuki empat buah rumah dan sebuah Tabika Kemas,” katanya.
Ahmad Mukhlis menambah pihaknya telah mengarahkan penghuni rumah untuk pindah ke balai penghulu berhampiran.
Terdapat empat orang guru dan 21 murid di dalam tabika tersebut menunggu bantuan.
“Pasukan penyelamat juga telah berjaya mengeluarkan seramai 21 murid Tabika KEMAS dan juga empat orang guru itu yang terperangkap di dalam banjir ke tempat yang selamat,” katanya.
Kesemua kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.
Terdahulu video tular di media sosial menunjukkan sebilangan besar murid tabika berkenaan berdiri di atas meja dalam sebuah tabika dikatakan terletak di Klang Gate, Hulu Kalang selepas premis itu dinaiki air banjir akibat hujan lebat pagi tadi. -MalaysiaGazette