Insiden runtuhan tanah berlaku pada ketinggian 30 meter di lereng bukit berhampiran Taman Melawati hari ini akibat hujan lebat. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)  Selangor mengesahkan berlakunya insiden runtuhan tanah di lereng bukit Taman Perumahan Melawati dekat sini dalam kejadian hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bencana negeri telah menerima maklumat mengenai insiden itu pukul 11.42 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan enam anggota dengan jentera van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah jentera pemadam digerakkan ke lokasi kejadian Jalan E6, Taman Melawati untuk Tindakan lanjut.

“Penilaian dan pemeriksaan awal Komander Operasi, Shamsul Shahar di lokasi mendapati berlaku runtuhan tanah di lereng bukit berkeluasan 20 x20 meter serta berlaku runtuhan pada ketinggian 30 meter di bukit itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Mukhlis berkata, penelitian lanjut mendapati kejadian runtuhan tanah itu tidak melibatkan mangsa dan kediaman di kawasan berhampiran.

“Namun bomba mendapati masih berlaku pergerakan tanah di lokasi runtuhan bukit tersebut dan kita terus memantau keadaan,” katanya.

Bagaimanapun bomba belum keluarkan sebarang arahan pindah kepada penduduk setakat ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here