KUALA LUMPUR – Foto dan video seorang lelaki Palestin yang terbakar hidup-hidup akibat pengeboman Israel baru-baru ini tular di media sosial.
Lelaki bernama Shaaban Ahmad Al-Dalou berusia 19 tahun itu dilihat bergelut dan mengeliat kesakitan sebelum maut dalam api yang marak dalam khemah yang diduduki di luar Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, Gaza.
Menurut perkongsian di media sosial, beliau merupakan mahasiswa kejuruteraan perisian di Universiti al-Azhar, Gaza dan merupakan huffaz yang menghafal keseluruhan isi al-Quran.
Dalam kejadian yang menyayat hati itu ibunya, Alaa Al-Dalou dan keluarganya yang lain turut syahid dalam serangan yang dilakukan Israel pada waktu malam ketika berpuluh ribu pelarian Palestin sedang tidur.
Mereka sebelum ini dilaporkan berjaya mengelakkan maut dalam serangan Israel ke atas sebuah masjid yang terletak berhampiran sebuah hospital yang mengorbankan 20 orang minggu lalu.
Sementara itu Facebook Palestinian Youth Movement berkata, Shaaban merupakan anak sulung dan berusaha mengumpul dana selama berbulan-bulan bagi memindahkan keluarganya ke Mesir sehingga perang tamat.
“Sebaliknya, Shaaban syahid malam tadi dalam video di mana dia dilihat bergelut untuk memadamkan api dari dirinya sebelum akhirnya tunduk pada kebakaran yang disebabkan oleh bom yang dijatuhkan oleh Israel di khemah.
“Bayangan Syaaban yang diselubungi api akan kekal dalam fikiran kita selama-lamanya. Darahnya, darah keluarganya, dan darah ratusan ribu rakyat kita, berada di tangan Joe Biden, Kamala Harris, dan setiap ahli politik imperialis lain yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai ini. Kami tidak akan lupa dan kami tidak akan memaafkan,” kata perkongsian itu.
Video itu turut dikongsi berpuluh ribu pengguna media sosial di luar Palestin termasuk akaun bernama Erik Biggers.
Menurut beliau, salah satu video terakhir Shaaban adalah rayuan kepada dunia untuk membantu dia dan keluarganya melarikan diri dari zon perang yang dipenuhi khemah ke Mesir supaya mereka boleh berpeluang mencapai kemakmuran.
“Peluang yang sama kita di Amerika Syarikat diberkati semasa dilahirkan, kemakmuran yang sama kita diberitahu dijanjikan kepada sesiapa yang melakukan perkara yang betul dan bekerja keras.
“Walaupun dengan pengeboman yang berterusan…ancaman kematian setiap hari…tekanan untuk memastikan keluarganya yang tinggal cukup makan dan tetap hangat pada malam yang sejuk, dia cuba untuk belajar dan menjadi lebih baik dalam keghairahannya.
“Sungguh menyedihkan dan tragis pengakhirannya, ia benar-benar meletakkan sesuatu dalam perspektif, dan membuatkan saya berasa seperti najis apabila beras keadaan terlalu sukar,” katanya.
Menurutnya, ketabahan Shaaban dan sepanjang jalan melalui pembunuhan oleh Israel harus diingati.
Israel dilaporkan telah membunuh lebih 42,000 penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat dalam serangan berterusan lebih setahun.- MalaysiaGazette