Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkaitan peruntukan membaiki jalan di Parlimen Bagan dengan mendakwa DAP membolot dana itu dikecam.

Menurut Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran, kenyataan Wan Saiful sengaja membuat tuduhan liar tanpa berasaskan fakta.

Menurutnya, Wan Saiful membuat tuduhan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menganggap wang rakyat (tax payers money) adalah milik mutlak DAP untuk diagihkan ke kawasan dimenangi dan mengetepikan kawasan-kawasan PN.

“Saya ingin sangkal tuduhan tidak berasas ini, biar saya cerita perkara sebenar kepada anda. Pada 9 Mac lepas, Guan Eng mengutus surat kepada Menteri Kerja Raya memohon peruntukan Projek Penaiktarafan dan Penyelenggaraan Jalan Mengikut Keutamaan Di Keseluruhan Kawasan Parlimen Bagan.

“Susulan itu, Menteri Kerja Raya melalui surat bertarikh 19 April 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 5.6 juta untuk kerja Berkala Pavemen dalam kawasan Parlimen Bagan dan juga RM 200,000 untuk kerja kecemasan dan kerja yang memerlukan tindakan segera oleh Jurutera Daerah.

“Bulan lalu, kami dimaklumkan daripada jumlah peruntukan yang diluluskan oleh Menteri Kerja Raya, hanya RM 4.2 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek di kawasan Parlimen Bagan manakala baki peruntukan telah disalurkan untuk projek di luar kawasan Parlimen Bagan,” katanya dalam kenyataan.

Lim Guan Eng

Sambung beliau, sudah jelas tujuan Guan Eng membangkitkan isu itu adalah untuk mendapatkan balik peruntukan asal yang telah diluluskan untuk kawasan Parlimen Bagan.

“Bayangkan peruntukan yang telah diluluskan oleh YB Menteri pun boleh disalurkan untuk tujuan lain, apakah mesej yang kita hendak hantar tentang kredibiliti Kerajaan?

“Memang sangat ketara keseluruhan peruntukan tersebut diluluskan untuk kawasan Parlimen Bagan dan tiada unsur untuk mengetepikan kawasan-kawasan PN.

“Wan Saiful juga melemparkan tuduhan liar bahawa PH dan DAP mahu menganaktirikan Tasek Gelugor tapi jika kita semak Laporan Prestasi Pelaksanaan Projek-projek RMK-12, daripada 45 projek diluluskan di Seberang Perai Utara yang dalam fasa pra-pelaksanaan, hanya empat projek berada dalam kawasan Parlimen Bagan.

“Daripada segi jumlah nilai projek pula, keempat-empat projek tersebut bernilai sejumlah RM 713,643,900, iaitu hanya 17.2 peratus daripada keseluruhan RM 4.15 billion yang diluluskan untuk 45 projek dalam fasa pra-pelaksanaan di Seberang Perai Utara,” katanya.

Dalam pada itu, nasihat Lingeshwaran, andai Wan Saiful memerlukan peruntukan segera untuk kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, dia boleh memohon terus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wan Saiful Wan Jan

“Jangan asyik mahu berpolitik sepanjang masa, rakyat mahu kita bekerja untuk kepentingan mereka. Jika anda (Wan Saiful) perlu peruntukan segera atau kecemasan minta dari PMX (Anwar) kita untuk kawasan anda. Ketepikan perbedaan politik.

“Sudah tentu Kerajaan MADANI yang prihatin akan meluluskan peruntukan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here