KUALA LUMPUR – Seorang wanita cedera parah selepas dipukul oleh teman lelakinya dalam kejadian di Seri Kembangan dekat sini pada 5 Oktober lalu.
Pada kejadian kira-kira 12.45 pagi, mangsa yang juga pembantu sumber manusia sebuah syarikat mengalami kecederaan serius terutama di muka dan kepala setelah ditumbuk dan dipukul dengan beberapa objek di rumah teman lelakinya.
Menurut Liew Xiao Jie, 26, dia keluar makan malam bersama teman lelakinya pukul 9 malam di sebuah restoran dan pulang ke rumah teman lelakinya sekitar pukul 12.30 pagi.
“Dia (teman lelaki) dalam keadaan separuh sedar kerana minum arak ketika berada di restoran. Semasa berada di rumah, saya bertanya kepadanya tentang masa yang perlu ditetapkan pada jam penggera kerana esoknya kami merancang untuk ke taman tema air Sunway Lagoon,” katanya pada sidang media di Wisma MCA hari ini.
Menurut laporan mangsa, suspek tiba-tiba berang dan bertindak agresif apabila ditanya sebelum menumbuk serta memukul mangsa dengan beberapa objek.
Mangsa mendakwa dia telah ditolak sehingga jatuh ke lantai dan dicekik sehingga sukar untuk bernafas selain disepak dan dihentam dengan kerusi di belakang badannya.
“Dia menghentak kepala saya ke dinding dan mengambil lampu lantai lalu memukul kepala saya sehingga berdarah,” ujarnya.
Xiao Jie cuba melarikan diri sebelum suspek mengambil pisau di dapur dan meletakkanya di lehernya namun mangsa meloloskan diri dan meminta bantuan daripada jiran sekitar pukul 1.20 pagi.
Mangsa kemudiannya dibantu oleh seorang jiran yang membawanya masuk ke dalam rumah untuk menyembunyikannya sebelum dihantar ke Hospital Serdang dekat sini untuk menerima rawatan.
Laporan polis telah dibuat oleh mangsa kira-kira pukul 5.19 pagi pada hari sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong mengutuk keras insiden itu dan mahu pihak berkuasa bertindak segera melindungi mangsa selain memastikan pelaku dihadapkan ke muka pengadilan.
“Mangsa hari ini datang ke Biro Aduan MCA kerana memerlukan sokongan agar perkara ini disiasat segera dan secara teliti.
“Saya serahkan kes ini kepada pihak berkuasa namun saya akan sentiasa pantau perkembangan siasatan,” katanya pada sidang media yang sama. – MalaysiaGazette