Gambar hiasan

KUANTAN – Akibat terpedaya dengan tawaran keuntungan pelaburan dalam mata wang Amerika Syarikat (USD), seorang wanita kerugian RM185,310 daripada wang simpanan dan hasil pinjamannya daripada kenalan.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa yang berusia 48 tahun telah memuat turun aplikasi pelaburan bernama First Gold VIP menerusi pautan di Instagram pada 1 Ogos lepas.

Mangsa berbuat demikian setelah dijanjikan keuntungan sebanyak enam peratus mata wang USD bagi setiap pelaburan berjumlah RM5,000.

“Kemudian dalam tempoh 21 Ogos hingga 9 Oktober, mangsa telah memindahkan sejumlah RM275,000 ke tujuh akaun bank berbeza.

“Mangsa memberitahu telah mendapat pulangan sebanyak RM89,690 secara berperingkat mulai 29 Ogos hingga 12 Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pada 12 Oktober lalu, mangsa yang berhasrat untuk mengeluarkan baki wang selebihnya sebanyak RM185,310  gagal berbuat demikian.

Yahaya berkata, mangsa mulai berasa curiga setelah diminta membuat penambahan pelaburan bagi membolehkan hasil pelaburan tersebut dikeluarkan dan telah membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here