Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Keputusan adik kepada Presiden UMNO, Datuk Abdul Hakim Hamidi menyertai Pas tidak meninggalkan kudis kepada UMNO, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Malah, kata beliau, UMNO juga tidak hairan dengan keputusan Abdul Hakim sama seperti UMNO tidak hairan dengan mana-mana pemimpin parti tersebut yang bertindak keluar parti sebelum ini.

Dalam masa sama, beliau menyelar Pas supaya jangan ‘lebih sudu dari kuah’ ekoran keputusan Abdul Hakim  memandangkan UMNO sendiri akan tetap terus melangkah ke hadapan.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan pendirian Pas yang menyifatkan penyertaan Abdul Hakim ke dalam parti itu sebagai peristiwa `hari ini dalam sejarah’.

Sedangkan, ujar beliau, individu yang lebih layak menerima pujian sedemikan rupa ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau Tan Sri Annuar Musa.

“Mereka berdua bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO. Hakim bukan heavyweight. Mungkin pandai berniaga. Pas jangan lebih sudu dari kuah.

“Parti lain rileks apabila terima orang baru. Nik Omar Nik Abd Aziz tanding atas tiket Amanah di DUN Cempaka 2018. PRU-15 dia bertanding pula di Parlimen Pasir Salak atas tiket PKR.

“Presiden Pas, Datuk Asri Muda jadi ahli UMNO dari 1989 hingga dia meninggal dunia tahun 1992. Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus juga menyertai UMNO. Dia bekas Setiausaha Dewan Ulamak Pas dan Menteri Komoditi.

“UMNO tidak hairan Hakim masuk Pas. UMNO jalan terus. Mad Tyson (Muhammad Muhd Taib) kembali kepada UMNO. Kita tunggu Annuar Musa. Apa Pas dapat daripadanya. Kalah lagi teruk di Nenggiri,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mohd. Puad menambah, UMNO juga tidak hairan dengan tindakan mana-mana pemimpinnya yang mahu keluar parti kerana di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, parti itu mempunyai kuasa rundingan (bargaining power) sendiri.

“Tidak ada apa dalam Pas baik manis iman, survival politik atau perjuangan Islam. UMNO tidak hairan siapa keluar parti. Di bawah Zahid, UMNO punyai bargaining power sendiri,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hakim telah menyerahkan surat keahlian Pas seperti yang dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd. Misbahul Munir Masduki menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Pas Parit Buntar.

Menurut Mohd Misbahul, adik Ahmad Zahid itu telah mendaftarkan diri sebagai ahli Pas seumur hidup. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adik Zahid Hamidi masuk Pas

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here