KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan subsidi untuk bayaran penjagaan anak-anak agar dapat meringankan beban golongan wanita yang bekerja, saran Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, Dato Azie Sheikh Mohd.
Beliau berkata, subsidi itu sebagai galakan untuk lebih ramai wanita terus bekerja seperti yang termaktub pada Belanjawan 2024 yang lalu.
“Golongan wanita adalah tiang seri kepada keluarga. Sebagai isteri dan ibu, peranan wanita sangat penting untuk membantu ekonomi keluarga.
“Namun kita melihat, terdapat kekangan yang menyebabkan golongan ini tidak sanggup untuk meneruskan kerjaya walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi.
“Bayaran penjagaan anak bukannya murah, kalau gaji RM3,500 pun, ada tiga anak, sebahagian gaji akan diperuntuk kepada bayaran bulanan jagaan.
“Dengan kos barangan yang mahal, mereka tidak sanggup lagi dan akhirnya mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anak-anak,” katanya.
Azie berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk Belanjawan 2025: Ada Apa Untuk Wanita.
Jelas beliau lagi, menerusi pemerhatian yang dilakukan, kerajaan boleh membantu dengan memberikan subsidi atau insentif dengan mengambil kira spesifikasi yang betul.
“Insentif ini contohnya diberikan kepada pusat jagaan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi lain dan dengan itu setiap ibu bapa hanya perlu membayar pada kadar minimum.
“Dari situ sudah ada lebihan duit dan secara tidak langsung dapat merancakkan lagi ekonomi keluarga berkenaan,” katanya.
Azie turut menjelaskan, dengan kekangan itulah, ramai wanita mengambil pendekatan ‘childfree’.
“Mungkin mereka tidak mahu merasa terbeban kerana gagal menyediakan fasiliti terbaik untuk anak-anak mereka.
“Jadi, keputusan terbaik adalah untuk tidak mengambil risiko ke arah itu,” katanya lagi.
Sementera itu, Azie turut mencadangkan Belanjawan 2025 perlu menitikberatkan kepada wanita-wanita bekerjaya yang mempunyai tanggungjawab menjaga orang tua mereka.
“Saya sangat tekankan perkara ini kerana ramai wanita bekerja selalu dipotong gaji setelah kehabisan cuti hanya untuk menjaga ibu bapa sakit atau membawa mereka ke hospital.
“Saya mohon kerajaan melihat dan mempertimbangkan untuk kes-kes sebegini agar ada insentif penjagaan khusus.
“Ini kerana pada masa sama kerjaya juga menjadi keutamaan bagi golongan wanita.
“Saya pasti dengan pertimbangan ini, lebih ramai golongan wanita akan terus bekerja dan dapat menjaga ekonomi dengan lebih baik lagi,” ujarnya.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tema Negara Makmur, Rakyat Sejahtera. – MalaysiaGazette