SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) harap mendapat peruntukan untuk membeli aset teknologi berasaskan kecerdasan minda (AI) pada pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, keperluan itu bagi mengimbangi pengurangan kakitangan jabatan tersebut yang akan diserap ke Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA).

“Setakat ini kakitangan kita ikut waran, perjawatan lebih 14,800 tapi keputusan kerajaan seramai 5,117 akan pergi MCPA. Jadi satu pertiga daripada kekuatan kita akan ke sana, jadi kita memerlukan lebih banyak aset AI untuk mengimbangi modal insan.

“Seiring kemajuan ini yang kepada penggunaan pendigitalan, jadi kita perlu lebih banyak peruntukan pendigitalan AI,” katanya ketika sidang media di Kompleks Kastam Kargo, Kargo KLIA, hari ini.

Menurut beliau, seramai 6,000 kakitangan Kastam akan diserap ke MCBA secara berperingkat,

“Fasa pertama melibatkan 5,117 kakitangan Kastam ke MCPA. Kedua, lebih 1,000 orang,“ katanya.

Pengoperasian fasa satu MCBA akan bermula 1 Februari tahun depan, membabitkan pengambilalihan lima pintu masuk sempadan negara.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, lima pintu masuk berkenaan adalah di Rantau Panjang, Kelantan; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk di kompleks kargo dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru.

Dua lagi di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Katanya, MCBA akan menyelaras sebarang aktiviti operasi khas berkaitan dengan kawalan dan perlindungan sempadan negara membabitkan jabatan dan agensi rakan strategik yang selari dengan undang-undang, berkuat kuasa melalui mesyuarat-mesyuarat diadakan mengikut kesesuaian.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan MCBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Sementara itu, Anis turut berharap  jabatan yang diketuainya itu bakal menerima tambahan peruntukan untuk perolehan aset-aset yang berkaitan.

“Kalau boleh ada tambahan peruntukan untuk aset bot marin, (yang sekarang) ada sedang diselenggara. Ada yang dalam proses pelupusan, kalau dapat penggantian segeralah, dan aset-aset lain untuk anggota penguatkuasaan Kastam, kita alu-alukan,” jelasnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here