KUALA LUMPUR – Kegiatan counter setting tidak timbul selepas pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, sebaliknya ia merupakan “penyakit lama” yang berlaku di pintu negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memandang isu itu kerana ia melibatkan pelanggaran integriti, wujud amalan rasuah dan tidak boleh ditolak ansur semua pihak khususnya Kemeterian Dalam Negeri.
“Elak melaga-lagakan saya dengan sahabat saya Bintulu, kami kerja sebagai satu pasukan cukup harmoni, dia tegur saya, saya tegur dia, dia kritik saya, saya kritik dia, itu lumrah perbezaan.
“Soal counter setting ini Kepong, bukan berlaku ketika Bintulu tegur sahaja, ini penyakit lama sebenarnya.
“Yang penting bukan kita cakap tentang penyakit dan masalah, bagaimana kita cari penyelesaian terhadap masalah itu, itu paling penting, semangat kami di KDN ke arah itu,” katanya ketika sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin juga meminta Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng untuk mendapatkan nama tiga individu yang didedahkan sebuah portal berita kepada KDN untuk tindakan selanjutnya.
“Saya minta Kepong beritahu MalaysiaKini, bagi nama kepada kita, kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk tangkap.
“Dapatkan nama penuh dia, sebutkan bukti kegiatan dia dan serah, saya beri jaminan saya sendiri akan serah kepada SPRM.
“Dalam Parlimen kita boleh buat ‘swipping statement’, kita ada tanggungjawab, kita juga ada pertanggungjawaban,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong itu bertanyakan kepada Saifuddin mengenai tiga dalang counter setting yang didakwa portal terbabit masih belum ditangkap dan sejauh mana kerajaan mengetahui identiti mereka terbabit. – MalaysiaGazette