Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Operasi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA) sudah bermula pada 1 Januari dan 1 Februari lalu melibatkan pengambilalihan lima pintu masuk negara bagi Fasa Pertama pada tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pintu negara yang terletak di Rantau Panjang mula diambil alih agensi ini pada 1 Januari lalu.

“Ia disusuli dengan KLIA1, KLIA 2, termasuk Kompleks Kargo; ICQS Bangunan Sultan Iskandar; JB Central; Pelabuhan Tanjong Pelepas Johor dan Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam, Kedah bermula 1 Februari lalu.

“Pemilihan lima pintu negara ini sejajar dengan keputusan Jemaah Menteri pada 24 Julai lalu dengan mengambil kira ciri-ciri demografi dan risiko yang berbeza, ada laut dan ada darat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mulut Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini bagi pengoperasian MCBA dan pelaksanaan penuh agensi baharu itu.

Menurut Saifuddin, Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat serta Dewan Negara pada 1 Ogos tahun lepas masih menunggu perkenan Diraja sebelum diwartakan.

“Oleh yang demikian, operasi agensi ini di pintu masuk dalam Fasa Pertama ini akan membolehkan agensi ini membuat analisis dan menambah baik sebelum kita buat roll out kesemua pintu masuk yang lain.

“Persiapan untuk memulakan operasi di lima pintu masuk ini, kita kena bangunkan operasi standard prosedur (SOP) melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, kerana agensi ini wujud dengan mengumpulkan pelbagai agensi bertugas di sempadan.

“Kita juga akan bangunkan Arahan Tetap ketua pengarah agensi sempadan ini untuk kita guna pakai.

“Agensi ini juga akan beri fokus untuk menyelesaikan isu sumber manusia, aset dan kewangan untuk memastikan proses transisi operasi pintu masuk ini lancar,” katanya.

Jelas Saifuddin, ketika ini MCBA hanya mempunyai 78 kakitangan sahaja dan sebaik sahaja agensi ini beroperasi sepenuhnya, seramai 13,420 anggota akan ditempatkan di pintu negara.

“Kesemua 13,420 kakitangan ini, kita kan tentukan mengikut skim pengambilan penjawatan oleh kerajaan, saya terbuka dengan cadangan tersebut, jumlah itu adalah kekuatan yang ideal.

“Kita juga faham ada kekangan dari segi mewujudkan penjawatan baharu. Saya terbuka bukan sahaja penjawatan tetap tapi juga penjawatan kontrak, saya akan serahkan kepada proses pengambilan mengikut perkhidmatan awam.

“Cadangan YB itu sangat baik dan ianya ada ruang untuk kita berikan pertimbangan (kepada bekas tentera),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast