Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar bercakap kepada media selepas selesai memberi keterangan pada pihak polis berhubung kenyataannya dalam media sosial mengenai dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ejen Israel ketika di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor menyifatkan pelancaran Kempen #BaktiDemiSelangor langkah strategik dan tepat pada masanya untuk memperkukuhkan sokongan bukan sahaja daripada pengundi Melayu, malah dalam kalangan anak muda dan pengundi bukan Melayu di negeri itu.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, sebagai sayap muda yang aktif dan progresif, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan dan keupayaan sayap itu bagi memastikan visi dan misi kempen tersebut tercapai.

Ujar beliau, tenaga dan komitmen Pemuda Pas akan digerakkan ke seluruh pelosok negeri Selangor untuk menyatukan undi anak muda, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dalam usaha memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Kempen #BaktiDemiSelangor yang menekankan keikhlasan dan kesungguhan Pas untuk berbakti kepada rakyat Selangor, seiring dengan agenda pembangunan, ekonomi, dan kebajikan negeri, merupakan platform terbaik untuk kami mendekati pengundi muda.

“Dengan pelbagai program dan inisiatif yang akan dilaksanakan, kami yakin Pas dan PN mampu memberikan tawaran terbaik kepada anak muda yang inginkan perubahan positif untuk masa depan mereka dan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pas Selangor melancarkan kempen #BaktiDemiSelangor sebagai langkah proaktif dalam persiapan menghadapi PRU-16.

Tambah Mohamed Sukri, Dewan Pemuda Pas Selangor juga akan memastikan usaha-usaha mendekati segmen pengundi bukan Melayu dan bukan Islam diperhebat, agar Pas dilihat sebagai wadah politik yang inklusif dan mampu membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam masa sama, ujar beliau, sayap itu juga beriltizam untuk mengikis sebarang persepsi negatif terhadap perjuangan Pas dan memperbetulkan salah faham yang masih ada.

“Kami yakin dengan kesepaduan dan kerjasama yang kukuh antara jentera Pemuda Pas dan jentera PN, matlamat kemenangan di Selangor akan dapat dicapai, sekali gus menjadikan PRU-16 sebagai titik perubahan penting dalam landskap politik negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here