Petisyen atas talian membantah insiden terjadi kepada anjing bernama ‘Kopi’ baru-baru ini.

KUALA LUMPUR –  Tindakan Majlis Daerah Besut (MDB) Terengganu yang menembak sehingga mati seekor anjing liar bernama ‘Kopi’, baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku.

Presiden dan Penaung Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, tindakan MDB itu tidak berperikemanusian kerana anjing kecil itu sebenarnya manja dan tidak membahayakan penduduk sekitar.

“Adakah ini tindakan rambang atas nama aduan anjing liar? Persoalan mudah, bagaimana anjing liar didakwa MDB ini boleh dinamakan dengan nama ‘Kopi’ oleh penduduk setempat? Kopi juga dalam beberapa video sangat seronok bermain dengan kucing terbiar di kawasan itu.

“Yang Dipertua MDB, Mohd Sukeri Ibrahim mendakwa, operasi bersepadu ini dibuat selepas aduan gangguan anjing liar dengan 131 tangkapan seluruh kawasan Besut. Tapi adakah benar-benar operasi untuk bantu kurangkan gangguan dan bahaya?

“Lebih baik anda gunakan tenaga, masa dan wang untuk tangkap lebih ramai penagih dadah, mat rempit, penyeluk saku yang mengundang malapetaka kepada rakyat di kawasan itu daripada main bunuh sahaja binatang yang tidak mampu berkomunikasi seperti manusia,” luahnya kepada MalaysiaGazette.

Sivakumar Nadarajah.

Lantaran itu, Sivakumar mahu Kerajaan Madani mengkaji semula akta berkaitan binatang terbiar dan peraturan untuk menangkap binatang terbiar termasuk prosedur untuk membela.

“Apakah susahnya untuk membela binatang tersebut atau diberikan kepada orang awam yang ingin memeliharanya?

“Ingat ya, Malaysia telah bersetuju untuk tidak lagi menjalankan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

“Jika ini boleh buat, mengapa tidak kaji untuk binatang ciptaan Tuhan yang tidak mampu berkomunikasi?,” soalnya.

Beliau turut berharap isu ini dibincangkan dalam Dewan Rakyat yang sedang bersidang ketika ini.

Tambah beliau lagi, ketika sidang Parlimen ini harapnya isu ini akan dibawa dan dibincangkan bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Insiden Kopi ini telah membuka mata rata-rata masyarakat termasuklah dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Banyak anjing terbiar dibunuh secara kejam dan tergesa-gesa. Harap selepas ini boleh fikir sebelum bertindak.

Banyak solusi yang ada tanpa menyakitkan mana-mana pihak termasuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sebelum bertindak.

“Saya juga menyambut lebih ramai NGO untuk turut bersuara agar lebih banyak ‘Kopi’ dapat diselamatkan pada masa akan datang,” tegasnya.

Baru-baru ini tular video berdurasi kira-kira satu minit yang dimuat naik di Instagram memaparkan dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan operasi menghapuskan anjing liar berkeliaran di daerah Besut.

Difahamkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri ketika ini sedang menyiasat penularan video tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here