KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025 dalam usaha mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan berkenaan.
Timbalan Menterinya Wong Kah Woh berkata, keputusan itu merupakan tindakan terkini kementerian itu yang telah merancang pelan intervensi dengan melaksanakan pemerkasaan terhadap program sedia ada.
Beliau berkata, antara kaedah lain dengan mendayagunakan pentaksiran psikometrik bagi mengumpul maklumat gambaran triat psikologi daripada aspek minda atau jiwa untuk membantu murid mengenali personaliti kendiri dan membuat keputusan berdasarkan kebolehan sendiri.
“Bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Unit Pantau MADANI dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia yang melibatkan Program Pecutan SPM 2024 dengan program ini dijalankan secara berfokus dan melibatkan negeri,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai usaha KPM dalam memastikan pelajar yang tidak hadir SPM dikenal pasti puncanya dan usaha bagi memastikan golongan ini tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.
Mengenai punca 10,160 calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lepas, Wong berkata, analisa KPM mendapati antaranya disebabkan calon telah bekerja, berhenti atau berpindah sekolah, mengalami masalah keluarga dan sakit. – MalaysiaGazette