Bayu Hills merupakan komponen projek dalam Bandar Rimbawan.

KUALA LUMPUR – LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan Bandar Rimbawan, sebuah pembangunan yang terletak di Genting Highlands, Pahang, dengan keluasan 315 ekar.

Perbandaran yang bersifat mesra hijau ini dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) lebih daripada RM9.5 bilion.

Pada ketinggian 821 meter dari paras laut, Bandar Rimbawan dirancang untuk mengintegrasikan masyarakat dengan ekosistem setempat.

Sungai dan air terjun menjadi tulang belakang utama bandar ini.

Rimbawan direka dan dibangunkan dengan mengambil kira unsur-unsur semula jadi ini bagi memastikan biodiversiti ekosistem setempat terjaga, koridor hijau dibina merentasi seluruh bandar, yang turut menjadi laluan semula jadi bagi spesis flora dan fauna di kawasan hijau yang dipelihara.

Projek ini melambangkan komitmen teguh LBS terhadap mengimbangi pemajuan dan pemuliharaan, dengan melaksanakan penanaman semula hutan yang berkesan melalui Kaedah Miyawaki123 untuk memperkukuh biodiversiti dan menggalakkan pertumbuhan semula jadi.

Selain itu, ia turut menggabungkan ciri-ciri ‘sponge city’, yang membolehkan penanaman pokok-pokok tempatan yang berkepadatan tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan sistem akar yang kukuh, di samping memperbaiki struktur tanah, dan meningkatkan kapasiti penyerapan air hujan dengan signifikan.

Dilengkapi dengan rangkaian laluan serapan tinggi yang direka untuk memudahkan penyerapan air hujan, ciri-ciri ini berfungsi secara sinergi untuk menjadikan Rimbawan sebagai sebuah ‘sponge city’ yang berupaya mengurangkan risiko banjir secara berkesan.

Untuk memastikan Rimbawan mengintegrasikan penduduknya dengan alam semula jadi, pembangunan ini dibahagikan secara strategik kepada empat zon yang berbeza iaitu ‘EcoCommunity’ yang menawarkan pelbagai pilihan perumahan, termasuk lot banglo, hartanah berangkai, dan unit kediaman bertingkat, di tengah-tengah ruang terbuka hijau yang subur, merangkumi lebih daripada 9 kilometer (km) laluan hutan, serta trek berbasikal dan joging lebih dari 6km.

‘EcoCommercial’ pula berpusat di sekitar sungai yang mengalir, ini adalah pusat sosial Rimbawan yang menyediakan pelbagai kemudahan awam dan komersial, menggalakkan hubungan masyarakat di dalam persekitaran semula jadi.

Sementara ‘EcoDiscovery’ menawarkan lebih daripada 50 ekar kawasan perlindungan ekologi, ia menawarkan pengalaman dan penemuan suasana alam semula jadi kepada penduduk dan ‘EcoPlay’ menampilkan taman permainan yang berasaskan alam, memupuk hubungan istimewa di antara kanak-kanak dengan alam semula jadi, membentuk generasi baru yang menghargai kelestarian serta prihatin terhadap alam sekitar.

Terletak di lokasi yang strategik berhampiran dengan kemudahan dan tarikan utama, Rimbawan menawarkan penduduknya gaya hidup yang dinamik di dalam suasana penuh ketenangan. .

Seiring dengan pelancaran Bandar Rimbawan, LBS turut memperkenalkan projek kediaman bertingkat pertamanya, pangsapuri servis Bayu Hills.

Bayu Hills menawarkan pelbagai kemudahan untuk memenuhi setiap aspek kehidupan moden, bertujuan untuk memberikan keselesaan dan manfaat kepada penduduk serta pemandangan indah kawasan tanah tinggi.

Projek ini dilengkapi dengan ruang santai, ruang kerja yang kondusif di dalam kawasan yang berlatar belakangkan keindahan hutan, dan pemandangan hijau, di mana setiap ruang diintergrasikan secara harmoni ke dalam landskap yang direka dengan seni dan susun atur yang mesra pengguna.

Penduduk juga boleh menikmati kemudahan lain seperti tadika, surau, bilik permainan, kolam renang, kawasan BBQ, dan banyak lagi.

Dengan jumlah 642 unit kediaman, Bayu Hills dijangka menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM453 juta.

Dijual dengan harga permulaan serendah RM501,900, pembangunan berkapasiti rendah ini menawarkan pelbagai susun atur yang direka dengan teliti, sesuai untuk pemilik rumah yang mencari gabungan harmoni antara kehidupan moden dan ketenangan alam, dengan pelbagai saiz unit yang berbeza pilihan dari 500 hingga 1,067 kaki persegi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast