Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) menyertai Seminar Peranti Perubatan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di KLCC Konvensyen Centre. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada penggiat dalam sektor peranti perubatan dari agensi kerajaan dan swasta menyertai Seminar Peranti Perubatan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Seminar anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) itu diadakan sempena Selangor Life Sciences Convention (SLC) 2024 iaitu salah satu komponen dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024.

Seminar itu dirasmikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan selain turut dihadiri Ketua Eksekutif MDA, Dr. P. Muralitharan.

Seminar itu bertujuan meningkatkan kefahaman bagi keperluan perundangan peranti perubatan di Malaysia yang terkini berdasarkan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Selain itu, seminar tersebut turut berperanan sebagai platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam industri perubatan serta dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara syarikat peranti perubatan, wakil industri, badan penilaian pematuhan dan pihak berkepentingan secara lebih strategik.

Selain itu, kerjasama tersebut juga menunjukkan kesungguhan semua pihak dalam menyokong usaha kerajaan untuk memperkasakan sektor peranti perubatan yang telah diisytiharkan sebagai antara sektor penting dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) menyertai Seminar Peranti Perubatan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di KLCC Konvensyen Centre. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2024.

Sementara itu, dalam ucapannya, Muhammad Radzi berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) secara bersendirian tidak dapat menangani semua masalah kesihatan dengan berkesan, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi, disiplin dan organisasi di peringkat tempatan mahupun global.

Jelas beliau, sejak pelaksanaan Akta Peranti Perubatan pada 2013 juga, hampir 580,000 peranti perubatan telah didaftarkan dengan MDA.

Situasi itu, katanya, menunjukkan kesungguhan dan kebolehpercayaan industri peranti perubatan Malaysia dalam mematuhi keperluan peraturan, setersunya berkembang dan bersaing di pasaran global.

“Secara bersama-sama dengan pihak industri, kerajaan boleh memanfaatkan kuasa penyelidikan, teknologi, dan penglibatan komuniti untuk memupuk masa depan yang lebih sihat,” katanya.

SIBS 2024 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dilaksanakan oleh Invest Selangor Berhad yang mana badan-badan antarabangsa bersidang dan meneroka pasaran yang mempunyai potensi besar di negara-negara ASEAN.

Selain itu, SIBS juga menjadi saluran pertemuan antara pemain industri dan pengguna dalam industri seperti farmaseutikal, bioteknologi, peranti perubatan penjagaan kesihatan, diagnostik, dan akademik.

Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) menyertai Seminar Peranti Perubatan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di KLCC Konvensyen Centre. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2024.

SIBS 2024 dianjurkan kali kedua tahun ini bermula hari ini hingga Sabtu ini, selepas kejayaan pengajuran pertama pada Julai lalu yang berjaya menarik kehadiran seramai 8,850 orang ramai dari 22 negara yang menjana sebanyak RM12.2 bilion pelaburan berpotensi.

Bagi penganjuran kedua kali ini, SIBS 2024 yang melibatkan pembukaan lebih 650 reruai daripada pelbagai sektor berkait dengan peranti perubatan dan kesihatan disasarkan mampu menarik lebih 12,000 kehadiran orang ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast