Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

KUALA LUMPUR – MCA melahirkan kebimbangan dengan hasrat Institut Jantung Negara (IJN) menaikkan kadar yuran sehingga 40 peratus yang disifatkan boleh membebankan rakyat keseluruhannya.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon merayu Kementerian Kewangan (MoF) yang mengendalikan IJN supaya dapat mengehadkan kenaikan yuran itu kelak supaya tidak melebihi lima peratus berbanding yuran semasa.

Ujar beliau, kenaikan maksimum lima peratus itu dilihat bersesuaian supaya tidak membebankan pesakit terutama golongan B40 yang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan swasta dan premium insurans.

“Kebimbangan kami juga selari dengan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana kenaikan yuran IJN boleh menyebabkan lebih ramai pesakit jantung mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekali gus memberi tekanan tambahan kepada sistem yang sudah pun terbeban,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hang Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA mengambil contoh di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang yang mana ketika ini dilaporkan seramai 1,000 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan dan pembedahan jantung.

Situasi sama, kata beliau, berlaku di Hospital Pulau Pinang yang mana kira-kira 850 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan sama manakala di Hospital Umum Sarawak, masa menunggu untuk mendapatkan rawatan pembedahan jantung pula melebihi setahun.

Ujarnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan bilangan pakar bedah jantung negara yang terhad yang mana ketika ini hanya terdapat 14 pakar yang berkhidmat di tujuh buah hospital awam di seluruh negara.

Malah, ujarnya, tiga buah hospital awam iaitu di Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, Pahang; dan Kota Kinabalu, Sabah hanya mempunyai seorang pakar bedah jantung yang secara signifikannya mengehadkan keupayaan untuk memenuhi keperluan pesakit jantung.

“Dengan cabaran-cabaran ini, kami menggesa IJN untuk mempertimbangkan kesan yang lebih luas daripada kenaikan yuran yang dicadangkan dan mengutamakan penyelesaian yang mampan dalam menyokong penjagaan pesakit dan profesionalisme sektor kesihatan negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, IJN memohon kenaikan antara 10 hingga 40 peratus bagi kadar yuran dikenakan kepada pesakit dengan alasan ia masih mengenakan kos asal kepada kerajaan yang ditetapkan pada 2003.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Talib dilaporkan berkata, kajian semula terhadap struktur bayaran juga perlu dilaksanakan kerana ia tidak berubah sejak 21 tahun lalu.

Selain itu, ia perlu dikira dengan inflasi serta peningkatan kos masa kini.

Tindakan semakan itu dikatakan penting untuk mengimbangi nisbah jumlah pesakit yang semakin meningkat di pusat perubatan IJN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast