Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kerugian kira-kira RM47,305,198.00 melibatkan sekurang-kurangnya 87 aduan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kerugian kira-kira RM47,305,198.00 melibatkan 87 aduan.

Difahamkan, ia berkaitan penipuan skim pelaburan ala hutang (debt investment) ditawarkan oleh sebuah syarikat.

Kata Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, seperti beberapa skim pelaburan sebelum ini, syarikat itu juga menjanjikan pulangan hibah  lumayan serta manfaat lain.

Melalui siasatan MHO selepas didatangi pengadu-pengadu kepada pertubuhan itu, pihaknya mendapati konsep, modus operandi digunakan oleh syarikat itu sama dengan dengan syarikat pelaburan lain.

“Hasil maklumat yang kita dapat daripada para pengadu, syarikat ini kononnya membuat pelbagai pelaburan dalam perniagaan patuh syariah termasuklah dalam industri pertanian, teknologi maklumat, pusat kecergasan seperti gimnasium dan hartanah.

“Pengadu tertarik dengan skim pelaburan ala hutang ini apabila mereka ditawarkan dengan tawaran pulangan hibah yang sangat menarik. Ada ditawar sehingga 30 hingga 50 peratus setahun.

“Kita syak tawaran-tawaran ini hanya sekadar kosong dan tidak benar untuk memerangkap mangsa,” katanya selepas menyerahkan aduan kepada BNM di sini hari ini.

Kata Hishamuddin, mangsa tidak pernah menerima sebarang bayaran hibah atau pulangan seperti dijanjikan oleh syarikat terbabit malah tidak pernah ditunjukkan atau dikemukakan sebarang bukti pelaburan tersebut memang benar-benar wujud.

“Para pengadu mengharapkan dan memohon supaya BNM dapat melakukan satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta dilakukan pertuduhan ke atas individu berkaitan atau syarikat itu di bawah pertuduhan seksyen yang sama.

“Mangsa juga akan bekerjasama dengan BNM bagi lengkapkan siasatan atas syarikat ini supaya pertuduhan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here