Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara saman sivil SRC ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini beliau sememangnya mahu proses pinjaman SRC International Sdn Bhd (SRC) dipercepatkan bagi memastikan adanya modal untuk tujuan pelaburan dalam syarikat tersebut.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Najib yang juga mantan Menteri Kewangan mengakui beliau sendiri telah bercakap dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang sepatutnya memberikan pinjaman itu kepada SRC.

Kata Najib, wang sebanyak RM2 bilion dipinjam daripada KWAP itu bertujuan untuk SRC menjalankan pelaburannya dalam sektor tenaga.

“Saya mahu pinjaman itu dipercepatkan kerana diberitahu pelaburan dalam sektor tenaga itu akan berlaku dalam masa terdekat ketika itu,” katanya ketika di soal balas oleh peguam mewakili SRC, P Gananathan.

SRC International (plaintif) telah menyaman Najib terhadap Najib dan Nik Faisal sebanyak AS$1.8 bilion.

Selain Najib dan Nik Faisal, Datuk Suboh Md Yasin dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Tan Sri Ismee, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Ketika Gananathan menyoal sama ada Najib telah mengenal pasti pelaburan mana yang mencukupi bagi tujuan pelaburan SRC, Najib dengan nada tegas menjawab, itu bukan tugasnya sebaliknya tugas Lembaga Pengarah SRC sendiri.

“Lembaga pengarah yang bertanggungjawab dan punya peranan. Itu tugas pengurusan bukan saya. Saya hanya dapatkan pembiayaan untuk SRC sahaja,” ujarnya.

Najib juga menafikan dirinya menentukan jumlah pinjaman yang diperlukan SRC daripada KWAP.

Prosiding bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here