Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan nilai ringgit pada tahun ini didorong dengan perkembangan dalam pasaran global dan prestasi ekonomi domestik yang kukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sejak 2022, kadar dasar yang lebih tinggi di negara ekonomi utama telah menarik dana pelabur dari negara membangun termasuk Malaysia.

“Dengan peralihan pendirian Dasar Monetari Ekonomi Utama Global, terutamanya Amerika Syarikat, yang telah mula menurunkan kadar dasar tingkah laku, sentimen pelabur turut berubah berikutan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil.

“Perkembangan ini telah menyebabkan kesanggupan mengambil risiko pelabur terhadap mata wang pasaran yang pesat membangun termasuk ringgit untuk meningkat,” kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membacakan teks jawapan Menteri Kewangan II pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin bertanyakan kepada Menteri Kewangan tentang faktor-faktor nilai ringgit melonjak naik ke paras RM4.15/ASD dan ramalan BMI Ringgit dijangka terus melonjak ke paras RM3.55 pada akhir 2025.

Selain itu katanya, Ringgit Malaysia lebih menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau, didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan.

“Pendekatan kerajaan meyakinkan kerana mengambil pendekatan termasuk menetapkan harga tuju jelas melalui kerangka ekonomi Madani.

“Ia disusuli dengan pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan tanggungjawab fiskal serta penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel,” katanya.

Menurutnya, kerangka ekonomi Madani juga disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum.

“Asas ekonomi negara bertambah kukuh pertama pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus berbanding suku pertama 4.2 peratus.

“Pengangguran pula terus menurun ke paras 3.2 peratus setakat Ogos 2024, selaras keadaan sebelum Covid-19 serta kadar inflasi setakat Ogos 2024 pada 1.9 peratus kekal pada tahap terkawal berbanding 2 peratus pada tiga bulan sebelumnya,” katanya.

Katanya lagi, pelaburan yang diluluskan perdagangan serta indeks pengeluaran perindustrian juga menunjukkan prestasi lebih kukuh serta sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan yang terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat.

“Langkah ini membantu mewujudkan aliran dua hala yang lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik, seterusnya mengukuhkan nilai ringgit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast