KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap tidak mengenakan cukai pusaka dan cukai harta tanah kerana langkah ini dibimbangi menyebabkan aliran modal keluar dan kekayaan generasi yang boleh digunakan untuk pelaburan langsung dalam ekonomi Malaysia
Pengarah Urusan Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit berkata, cukai pusaka hanya menyumbang sekitar 0.5 peratus daripada hasil cukai keseluruhan secara purata dalam kalangan negara-negara dalam kumpulan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Oleh itu, pelaksanaan cukai ini hanya memberikan sumbangan yang sangat kecil kepada perbendaharaan negara dan tidak menyokong pemulihan industry hartanah negara.
“Namun, dalam senario terburuk, pelaksanaan cukai ini boleh mencetuskan pengaliran modal apabila pemilik aset berpindah ke negara yang tidak mengenakan cukai pusaka.
“Cukai harta juga akan menghalang pelaburan dalam hartanah, serta penubuhan dan pengembangan perniagaan yang menjadi faktor utama dalam menjana kekayaan yang diperlukan untuk memiliki aset-aset ini. Dalam jangka masa panjang, ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan hasil cukai,” katanya.
Bagi merancakkan sektor hartanah negara, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengaktifkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang terbukti bukan sahaja mengurangkan bilangan unit hartanah tidak terjual tetapi juga membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Menurut beliau, pemain industri hartanah termasuk telah berusaha meningkatkan kemampuan pemilikan rumah, dan terdapat inisiatif dasar yang menggalakkan untuk meningkatkan pemilikan rumah di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
“Bagaimanapun, masih banyak unit kediaman yang dianggap tidak mampu dimiliki, dan isu lambakan ini belum dapat diselesaikan. Sehingga separuh pertama tahun 2024, terdapat lebih daripada 22,000 unit kediaman tidak terjual di pasaran.
“Selain membantu menyelesaikan masalah lambakan ini, pengaktifan semula HOC juga akan memberikan rangsangan tambahan kepada industri
hartanah, yang seterusnya memberi kesan positif kepada sektor-sektor utama ekonomi lain seperti sektor pembinaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette