Tertuduh, Foo Yeong Yunn, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh,  di sini hari ini atas pertuduhan mencuri alat ganti kenderaan bernilai lebih RM60,000 milik majikannya dua minggu lalu.

MELAKA – Penyelia sebuah bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh,  di sini hari ini atas pertuduhan mencuri alat ganti kenderaan bernilai lebih RM60,000 milik majikannya dua minggu lalu.

Tertuduh, Foo Yeong Yunn, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan niat curang mencuri barang-barang alat ganti kenderaan bernilai RM61,640 milik Proton Bunga Raya Auto Premium Sdn. Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di pusat servis kenderaan terbabit di Jalan TTC 30, Taman Teknologi Cheng, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7.50 pagi hingga 8.21 malam 5 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan yang rendah kerana perlu menyara keluarga termasuk tiga anak dengan pendapatan sebagai penyelia sebanyak RM3,200 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula 3 Disember ini. – MalaysiaGazette