Datuk Seri Dr Mujahid Yusof .

KUALA LUMPUR – Usaha memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang disebut dalam Rancangan Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 mendapat perhatian pelbagai pihak.

Namun dalam mengutarakan pandangan yang berbeza, semua pihak disarankan berpegang kepada adab dalam Islam untuk menghindari sikap sombong dan perbuatan yang boleh memecah belahkan umat.

Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan, mereka yang mempunyai pandangan berbeza tidak sepatutnya dilabelkan sebagai anti-Islam atau anti-aliran tertentu.

“Perbuatan melabelkan mana-mana pihak secara melampau sebenarnya tidak berpegang kepada manhaj Asyairah atau Maturidiyah yang mengutamakan kesederhanaan dalam perbezaan pendapat.

“Semua pandangan yang dikemukakan berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sepatutnya menjadi panduan utama dalam perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Agama itu juga mengharapkan RUU Mufti 2024  dapat mencapai keputusan yang berpegang kepada prinsip kesederhanaan tanpa memecahbelahkan umat Islam.

“Semoga perbahasan ini dapat memerangi fahaman melampau dalam beragama (al-Ghuluw) serta fahaman Khawarij yang sering dilihat merosakkan kesatuan umat dan kestabilan negara.

“Selain itu membawa membawa kepada pengukuhan institusi mufti di Wilayah Persekutuan, menjadikannya lebih berfungsi dan berkesan dalam menangani fahaman-fahaman ekstremis yang kadangkala berselindung di sebalik perjuangan membela Islam,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here