Dr Mohd Asri Zainul Abidin MACC Azam Baki Shares ownership support lawyer haram defend oppressors
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Katanya, menteri itu sebenarnya kurang faham dengan usaha untuk mensyaratkan akidah melalui RUU berkenaan.

“Saya berani katakan insya-Allah, Menteri Agama yang beria-ia nak mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham. Saya boleh buktikan insya-Allah jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali itu.

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya.

Malah Mohd Asri yakin sebanyak 97 peratus atau lebih dalam kalangan muslim dalam negara ini tidak mampu memahami tertentu khsususnya Akidah Ashairah dan Maturidiyyah yang dijadikan identiti Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah ini tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan satu dua isu teologi sahaja.

“Anda perlu faham isu akidah yang berkaitan seperti tentang qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori dan andaian hukum fizik yang pelbagai.

“Jika dalam perkara amalan (fekah) seseorang boleh sekadar mengikut (bertaqlid) tetapi bab kepercayaan (akidah) tidak boleh. Bahkan mengikut sebahagian tokoh-tokoh besar Ashairah sesiapa yang gagal mendatangkan bukti keimanan kepada Allah seperti hujah-hujah Ashairah maka imannya tidak sah. Dalam erti kata lain, dia menjadikan kafir.

“Saya katakan 97 peratus rakyat Malaysia muslim tidak faham apakah sebenarnya Ashairah Maturidiyyah al-Junaid dan al-Ghazali. Bukan sahaja rakyat awam, menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen pun ramai yang tidak faham. Lebih daripada itu, ada yang nak sebut istilah itu pun tidak lepas,” katanya.

Selain itu beliau mendakwa RUU tersebut merupakan agenda individu tertentu yang ingin mengkultuskan menggunakan undang-undang negara.

“Isu alam ini wujud tanpa tempat dan bagaimana makhluk melihat Allah pun masih berbalah sesama Ashairah Maturidiyyah, apatah lagi rakyat jelata awam. Perlukah negara kita masuk ke kancah ini? Perlukah rakyat disibukkan dengan hal-hal seperti ini?” soalnya.

Semalam, Mohd Na’im berkata, RUU Mufti 2024 melalui proses penggubalan teliti dan panjang bagi memastikan ia komprehensif dan teratur.

Beliau menegaskan, penggubalannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebelum ini, Mohd Na’im mengesahkan RUU Mufti akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula semalam.

Baru-baru ini, sekumpulan 14 NGO dari Sabah dan Sarawak menyuarakan bantahan terhadap RUU itu dengan mendakwa ia melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan langsung terhadap sistem sekular.

Turut mempertikaikannya, peguam, Latheefa Koya yang menganggap ia boleh membawa kesan yang serius kepada orang Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here