Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia untuk membantu pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sedang menghadapi masalah tunggakan gaji.

Kerajaan negeri menerusi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengadakan pertemuan dengan KDA FC bagi membincangkan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku ketika ini.

“Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan KDA FC).
“Apa-apa yang boleh kita bantu, kita tengok nanti, minta mereka hubungi KFA,” katanya dipetik dari laporan Buletin TV3 di sini hari ini.
Foto FB KDA FC.

Muhammad Sanusi  turut bersimpati dengan nasib pasukan dan pemain yang kini dilihat terumbang-ambing dengan tiada jalan penyelesaian yang berjaya dicapai antara dua pihak.

Katanya, sebagai Presiden KFA, beliau bersedia untuk bertemu pemain pasukan berkenaan bagi mendengar masalah mereka secara berdepan.

“Ia urusan syarikat swasta yang kendalikan KDA FC. Saya hanya boleh pertimbangkan untuk campur tangan atau tidak, setakat ini tiada pemain datang jumpa saya. Mereka hanya luah melalui media sahaja,” jelasnya.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga ada berjumpa dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar namun tidak memperincikan butiran berkenaan.

“Ada Tan Sri Daud hubungi dua tiga bulan lepas dan selalu juga jumpa. Tambahan pula kita masih ada komitmen lama yang ditanggung ketika terajui KFA sebelum ini, KFA masih tanggung bayaran ansuran hutang lama dengan badan berkanun.

“KFA masih bayar untuk lesen 2024 pun KFA ada bantu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here