LONDON – Thomas Tuchel bakal dilantik sebagai pengurus baharu England selepas bersetuju dengan perjanjian bersama Persatuan Bolasepak (FA) England, lapor Sky Sports.
Malah BBC dan akhbar Jerman, Bild juga melaporkan, Tuchel, 51, akan dinamakan sebagai pengganti tetap kepada Gareth Southgate.
FA England bagaimanapun enggan memberi komen terhadap laporan itu tetapi ketua pegawai eksekutifnya, Mark Bullingham memberi jaminan akan memberikan kemas kini apabila pelantikan itu disahkan.
Pengendali kelahiran Jerman itu yang tidak bekerja sejak meninggalkan Bayern Munich pada hujung musim lalu akan menjadi pengurus asing ketiga Three Lions selepas Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello.
Sky Germany melaporkan Tuchel akan menandatangani perjanjian selama 18 bulan bermula 1 Januari 2025 hingga berakhirnya Piala Dunia 2026.
Bekas jurulatih Borussia Dortmund, Paris Saint-Germain, Chelsea dan Bayern, Tuchel mempunyai rekod memenangi banyak trofi dengan FA menyasarkan untuk menamatkan penantian selama 58 tahun bagi memenangi kejuaraan utama.
Tuchel menang kejuaraan liga di PSG dan Bayern dan Piala Jerman bersama Dortmund, namun kejayaan terbesarnya ketika mengendalikan kelab Inggeris, Chelsea.
Dia mengemudi The Blues menjuarai Liga Juara-Juara hanya beberapa bulan selepas mengambil alih pada tahun 2021 dan juga Piala Super UEFA serta Piala Dunia Kelab FIFA bersama kelab London itu.
Tuchel dipecat pada September 2022 dalam satu tindakan berani kumpulan pemilikan baharu Chelsea yang tidak mendatangkan hasil.
Hanya enam bulan kemudian dia dilantik sebagai bos Bayern dan mengemudi mereka merangkul kejuaraan Bundesliga buat kali ke-11 berturut-turut.
Namun Tuchel turut menyaksikan kemerosotan dominasi Bayern dalam bola sepak Jerman apabila mengakhiri kempen musim lalu tanpa memenangi sebarang trofi buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.
Lee Carsley ketika ini dilantik sebagai pengendali sementara England pada Ogos lalu susulan peletakan jawatan Southgate sebaik selepas kalah final Euro 2024. – Agensi