Ahli Parlimen Macang, Wan Ahmad Fayhsal pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sedia untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam pelbagai isu termasuk isu mencetak wang dan BlackRock.

Beliau bagaimanapun tidak berminat berdebat dengan Timbalan Presiden PKR itu sekiranya diadakan di pod siar (podcast) di bawah kendalian Rafizi.

Sebaliknya, Ketua Armada Bersatu itu mahu debat dijalankan dalam platform neutral seperti anjuran sebuah akhbar seperti kelaziman.

“Saya tak nak pergi ke podcast ‘terbakar’ beliau itu. Sediakan platform neutral, tak perlu ke Bernama, Sinar Harian pun cukup kalau Sinar Harian sudi untuk sediakan platform neutral.

“Biar saya ‘bergomol’ dengan Rafizi dalam hal ini,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Podcast ‘terbakar’ merujuk kepada podcast ‘Yang Bakar Menteri’ di bawah kendalian Rafizi.

Semalam, Rafizi membidas cabaran Wan Fayhsal yang mempelawanya berdebat di siaran televisyen arus perdana.

Mempertahankan tindakannya berdebat di platform podcast, Menteri Ekonomi itu menjelaskan kadar bayaran siaran televisyen sangat mahal.

Kelmarin, Wan Fayhsal berkata, beliau mahu berdebat dengan Rafizi di platform televisyen arus perdana seperti dilakukan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here