Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 96 peratus kes kanak-kanak hilang berjaya diselesaikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2020, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri berkata, 74 peratus daripada jumlah 3,847 kes kanak-kanak hilang dari tahun 2020 hingga September lalu adalah melibatkan gadis.

“Secara purata, sebanyak 770 kes kanak-kanak hilang dicatatkan setiap tahun atau dua kes setiap hari.

“Namun, daripada jumlah keseluruhan kes kanak-kanak hilang, 96 peratus telah diselesaikan oleh polis,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang bertanyakan berkenaan usaha yang diambil pihak kementerian dalam menangani peningkatan kes kanak-kanak hilang.

Saifuddin berkata, kanak-kanak berumur antara 13 hingga 15 tahun adalah paling ramai dilaporkan hilang, dengan merekodkan 54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Manakala, 37 peratus daripada kes tersebut melibatkan kanak-kanak berumur 16 hingga 18 tahun.

“Antara sebab kanak-kanak hilang termasuk mencari kebebasan, pengaruh rakan sebaya dan salah faham dengan keluarga,” ujarya.

Beliau menambah, sebanyak 457 program kesedaran telahpun diadakan sebagai langkah pencegahan dan pihak berkuasa mengaktifkan sistem Nur Alert untuk mencari kanak-kanak hilang supaya usaha pencarian diperluaskan.

Jelas beliau, kanak-kanak yang ditemui akan diberikan sokongan secara psikologi termasuk keluarga mereka.

Ditanya mengenai keperluan untuk merangka undang-undang baharu bagi menangani isu berkenaan, Saifuddin berkata, kerangka undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menangani masalah tersebut.

“Undang-undang yang ada cukup, kerana apabila kita menemui kanak-kanak hilang dan mengprofailkan mereka, kes tersebut cenderung berubah menjadi kes rogol di bawah Seksyen 306 dan 305 Kanun Keseksaan…tetapi kes bunuh adalah sangat sedikit.

“Kebanyakan kes disebabkan pengaruh rakan sebaya di mana kanak-kanak ini akan melarikan diri untuk bebas, bersama rakan atau kekasih mereka.

“Melihat kepada data, jika ini berlaku dan apabila kanak-kanak dilaporkan hilang, kami mendapati bahawa kami perlu membuka fail kes untuk kes rogol,” katanya, menambah bahawa kerajaan akan memberi lebih penekanan kepada kesedaran. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here