Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 02 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengadakan banyak sesi libat urus bagi memastikan pandangan pelbagai pihak diambil kira mengenai pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan termasuk dengan kumpulan bukan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, antara kumpulan bukan Islam yang dilibatkan dalam perbincangan itu termasuklah Persekutuan Kristian Malaysia, Persatuan Ajaran Taoism Malaysia dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) Kerajaan Sarawak.

“Ini membuktikan kita mengambil kira untuk memberi penerangan dan pencerahan dan ia mesti bersifat inklusif dan merangkumi keseluruhan masyarakat.

“Insya Allah kita akan teruskan lagi sesi libat urus agar semua memahami usaha ini bukan untuk politik, tetapi untuk memartabat dan mengangkat institusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai sejauh mana usaha untuk berhubung dengan kumpulan bukan Islam yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan pindaan RUU itu.

“Polemik RUU355 sudah lama berlaku, ada banyak masalah. Apa advokasi terhadap golongan bukan Islam sebab mereka nak lihat (perkara itu) juga. Setakat mana (usaha dilakukan)?” soalnya.

Dalam pada itu Zulkifli berkata, pihaknya turut mengadakan libat urus dengan Pejabat Peguam Negara, Ketua Hakim Syarie, pendakwa raya dan majlis agama Islam negeri.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah di Malaysia pada 15 Julai lalu menegaskan, pindaan pada akta itu hendaklah dibuat dengan teliti agar ia menjadi satu dokumen yang kukuh dan disepakati semua negeri, mufti dan ulama.

“Pada 30 Julai lalu, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Sultan Nazrin Shah bertitah agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi taklimat mengenai cadangan pindaan kepada akta ini bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan majlis agama Islam negeri terlebih dulu,” ujarnya.

Zulkifli meberitahu, satu jawatankuasa khas juga akan menilai cadangan pindaan yang dibuat bagi memastikan proses penilaian menyeluruh sebelum ia dirangka. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here