GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menentang sebarang bentuk sokongan kewangan bagi membantu peruncit mematuhi pelaksanaan larangan paparan produk tembakau dan vape oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, industri tembakau yang bertanggungjawab menyediakan infrastruktur paparan produk di kedai-kedai seharusnya menanggung kos pematuhan.
“Berhubung dakwaan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) bahawa kos pematuhan boleh mencapai RM300 juta adalah tidak berasas.
“Sistem penyimpanan yang murah seperti rak kabinet di belakang kaunter sudah memadai untuk mematuhi peraturan ini tanpa memerlukan pelaburan besar.
“Rak kabinet sederhana untuk menyimpan produk tembakau secara tersembunyi adalah mudah didapati dan murah, sekali gus mengurangkan beban kewangan kepada peruncit,” katanya mengulas
Dakwaan Presiden Persekutuan FSGMAM, Hong Chee Meng yang menyatakan kebimbangan berhubung pelaksanaan larangan paparan produk tembakau dan vape.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) selaras dengan komitmen negara terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kawalan tembakau.
“Sebarang penangguhan dalam pelaksanaan larangan ini hanya akan memberi keuntungan kepada industri tembakau dan menjejaskan kesihatan masyarakat.
“CAP juga menolak dakwaan bahawa Akta 852 akan menyebabkan peningkatan dalam perdagangan tembakau haram kerana masalah ini telah lama wujud dan hanya boleh diatasi dengan penguatkuasaan yang lebih ketat serta hukuman yang lebih berat terhadap penyeludup.
“Sehubungan itu kita menyeru agar larangan terhadap paparan produk tembakau dan vape dilaksanakan tanpa berlengah sebagai langkah penting untuk melindungi kesihatan awam di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette