Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan gambar dua suspek kes samun jongkong emas pada sidang media di Dewan De Cerana, IPK Selangor, Shah Alam. Foto: NIZAM ZAIN, 17 OKTOBER 2024

SHAH ALAM – Polis sedang memburu dua suspek bagi membantu siasatan kes samun jongkong emas seberat 16.9 kilogram bernilai RM5.9 juta dalam satu kejadian di tempat letak kenderaan, Kompleks Industri Puchong, 13 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang giat mengesan  dua lelaki yang masih bebas, masing-masing berusia 35 dan 28 tahun serta berasal dari Terengganu dan Pahang.

“Antara suspek yang dikenal pasti ialah M. Sharuddin Majid berusia 35 tahun dan alamat terakhir di Lot 1956, Lorong Setia 4, Taman Setia, Kuala Terengganu, Terengganu.

“Manakala seorang lagi ialah Tuan Nazrin Shah Tuan Nasir, berusia 28 tahun dan alamat terakhir dikesan di No. 11 Jalan 1, Taman Teratai 1, Jerantut, Pahang.

“Pihak polis menyeru agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya untuk hadir ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan gambar dua suspek kes samun jongkong emas pada sidang media di Dewan De Cerana, IPK Selangor, Shah Alam.
Foto: NIZAM ZAIN, 17 OKTOBER 2024

Terdahulu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang menahan lima lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia 27 hingga 60 tahun antara 8 hingga 14 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes samun jongkong emas itu.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati empat suspek mempunyai 25 rekod jenayah lampau dan narkotik,” katanya.

Beliau berkata, ketika kesemua tujuh individu terbabit ditahan, polis berjaya merampas sebuah Perodua Axia berwarna biru, Volkswagen Passat (Putih), enam pasang sarung tangan.

“Turut dirampas barang yang disamun iaitu empat kepingan berwarna emas, pelbagai barang dan wang tunai dipercayai hasil penjualan harta samun,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian pada 13 September, dua pekerja sedang memasukkan barangan syarikat, berupa ketulan jongkong emas ke dalam sebuah kenderaan milik syarikat di tempat letak kenderaan Kompleks Industri Puchong.

Katanya, dalam kejadian kira-kira  11 pagi, mereka didatangi sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna biru menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dinaiki empat lelaki bertopeng disyaki berbangsa Melayu.

“Pengadu telah dipukul di bahagian tangan dan kaki menggunakan kayu oleh salah seorang suspek manakala suspek kedua mengacukan senjata jenis parang bagi membolehkan suspek ketiga mengambil beg berisi jongkong emas yang berada di tempat duduk belakang kenderaan syarikat,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

“Dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 17 Oktober lalu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pertama.

“Bagi pertuduhan kedua, masing-masing dituduh di bawah Seksyen 412 dan Seksyen 414 Kanun yang sama.

“Empat suspek pula akan dituduh di mahkamah sama pada 18 Oktober ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala seorang suspek lagi akan diikat bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here